Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

Program Ceria Ke Sekolah Manfaat 1000 Pelajar

By 1 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh : Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN 1 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 1000 pelajar sekolah menengah dan rendah yang datang dari keluarga berpendapatan rendah seluruh Labuan menerima bantuan persekolahan berupa beg sekolah dan wang tunai RM 100 petang semalam di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Roslan Hassan, pada tahun ini yayasan tersebut telah memperuntukkan sebanyak RM 2.5 juta bagi bantuan persekolahan tersebut kepada 17 ribu penerima meliputi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Ia membabitkan para penerima dari 13 buah Kawasan Parlimen, badan – badan bukan kerajaan (NGOS) dan sekolah-sekolah yang ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan”, ujar Roslan.

Menurut salah seorang penerima, Puan Aisah Liman, 41 tahun, beliau berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan yang sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan beliau sebagai seorang ibu tunggal.

Beliau yang hanya membuka perniagaan warung makan kecil – kecilan menjadikan sumber rezeki tersebut untuk membesarkan satu satunya anak tunggalnya iaitu Abdil Hafis Razak yang kini sedang menuntut dalam tingkatan dua.

“Walaupun tidak sebesar mana sumbangan tersebut namun keprihatinan kerajaan melalui Yayasan Wilayah Persekutuan tetap tidak melupakan golongan ibu tunggal sepertinya”, tamba Aisah lagi.

Bagi salah seorang pelajar Sekolah Menengah Rancha Rancha, Mohd Aidil Farhan, 14 tahun, beliau berasa gembira kerana terpilih untuk menjadi salah seorang penerima bantuan tersebut dan akan menggunakan wang sumbangan tersebut untuk membeli perkakasan sekolah yang akan memulakan sesi pembelajaran pada minggu hadapan.

Program Ceria Ke Sekolah sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama UMNO Bahagian Labuan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli.

Ujar Rozman yang juga merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, bantuan tersebut adalah penting bagi keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah untuk meringgankan perbelanjaan mereka bagi menghadapi pembukaan sesi persekolahan baru tahun depan.

“Ini membuktikan kerajaan sentiasa memikirkan kesusahan rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang agak perlahan serta kejatuhan harga minyak dan gas yang sedikit sevanyak memberi kesan kepada ekonomi di Labuan ini”, ujar Rozman lagi.

Beliau memuji usaha Yayasan Wilayah Persekutuan dalam membantu anak-anak yang akan memulakan persekolahan kelak melalui program Ceria Ke Sekolah yang sudah memasuki kali kedua penganjurannya sejak tahun 2015.

Turut hadir Senator Dewan Negara, Datuk Haji Yunus Haji Kurus, Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadananan Labuan, Datuk Bashir Haji Alias serta ketua-ketua komponen Barisan Nasional Labuan.

– MRR

Tinggalkan komen anda