Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Projek Perumahan Sri Perlis, Alami Transformasi

By 20 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan & Foto : Herman Hamid

Kuala Lumpur, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Perumahan Sri Perlis 1 dan 2 di Datuk Keramat, Kuala Lumpur akan di naik taraf kepada Projek Perumahan Rakyat, PPR di bawah inisiatif terbaharu Kerajaan.

Dikenali sebagai program ‘Jom Bantu Rakyat’,  projek ini merupakan koordinasi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Jom Bantu Rakyat’ akan menumpukan bantuan kepada rakyat yang tinggal di rumah flat atau pangsapuri lama di bandar-bandar besar di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek ‘Jom Bantu Rakyat’ di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

“Kerajaan Barisan Nasional adalah Kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan berusaha untuk meringankan beban rakyat.

“Justeru, perumahan yang telah wujud dan didiami sejak 40 tahun ini akan ditransformasikan agar lebih tersusun dan selesa,” kata Datuk Seri Najib dalam ucapan semasa pelancaran ‘Jom Bantu Rakyat’ di Desa Pandan, Titiwangsa.

Apa yang menarik, selain naik taraf kediaman, penduduk Perumahan Sri Perlis 1 dan 2 akan mendapat sumbangan perabot baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut meriah penduduk Desa Pandan, Kuala Lumpur

Jelas Datuk Seri Najib, program ‘Jom Bantu Rakyat’ adalah antara satu projek bantuan perumahan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan akan membina 80 ribu unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan, RUMAWIP di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“50 ribu unit rumah RUMAWIP dibina di Kuala Lumpur, 20 ribu unit di Putrajaya dan 10 ribu unit di Labuan,” jelasnya Datuk Seri Najib lagi.

Turut dilancarkan bersama adalah Pusat Internet 1Malaysia di Dewan Komuniti Desa Pandan bagi kegunaan secara percuma masyarakat setempat.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

-MSM

 

 

Tinggalkan komen anda