Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Rakyat Perlu Fahami Kesahihan Maklumat Tersebar – Tuanku Muhriz

By 21 Januari 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Norhayati Shamsu Anuar / Foto: Mohd Khairulnizam Mohd Yunus

KUALA PILAH, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah agar rakyat mengambil berat serta mempunyai kefahaman yang tepat terhadap kesahihan berita dan maklumat yang tersebar melalui media cetak, elektronik dan media sosial.

Titahnya, maklumat yang diterima perlu disiasat dan dikaji mengenai kesahihannya sebelum membuat penyebaran yang boleh menyebabkan tanggapan negatif seandainya maklumat itu tidak benar serta perlu bijak menilai antara kebenaran dan kepalsuan serta fakta dan pandangan.

“Masyarakat sewajarnya menapis, membuat kajian serta memperdalamkan pengetahuan yang betul mengenainya bagi memastikan kesahihan sesuatu perkara ibarat pepatah Inggeris ‘to separate the wheat from the chaff’,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-69 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini semalam.

Pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran ini, Pakar Perunding Kanan Perubatan Hospital Tuanku Jaafar Datuk Dr K Sree Raman mendahului senarai 832 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dengan menerima Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin.

– AH

Tinggalkan komen anda