Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Bidayuh Salako Amal Sirih Kekal Sihat

By 14 Februari 2017Februari 15th, 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan / foto oleh Luhat Ajang

LUNDU, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Sebut sahaja perkataan makan sirih, terbayang di minda kita mulut terkumat-kamit mengunyah sirih dan pinang yang kemudiannya mengeluarkan cecair berwarna merah.

Walaupun amalan ini semakin jarang ditemui namun tidak dinafikan amalan memakan sirih masih lagi diamalkan oleh beberapa kelompok masyarakat di Sarawak.

Menurut Penduduk Kampung Pueh, Sematan, Iyar Anak Asiu, 72, sirih atau ka’rakek dalam bahasa Bidayuh Salako amat sinonim dengan masyarakat mereka terutamanya golongan wanita.

Iyar sedang menumbuk pinang dan sirih menggunakan peralatan khas

Iyar sedang menumbuk pinang dan sirih menggunakan peralatan khas

Tabiat memakan sirih telah bermula sejak zaman nenek-moyangnya lagi dan masih diteruskan sehingga kini. Antara bahan yang diperlukan oleh seorang penggemar sirih ialah daun sirih pinang, kapur dan tembakau.

Di sekitar kampung Pueh terdapat banyak pokok pinang dan daun sirih yang ditanam dan hidup subur, manakala tembakau dan kapur dibeli di kedai-kedai di Sematan, Lundu mahupun di kedai-kedai runcit yang terdapat di kawasan kampung.

Tambah Iyar, amalan memakan sirih juga merupakan salah satu cara bergaul dengan rakan-rakan sekampung mahupun saudara-mara sambil berbual-bual pada masa lapang.

“Kadang-kadang sirih juga dihidangkan kepada tetamu atau saudara-mara yang bertandang ke rumah. Sambil-sambil berbual, mereka akan memakan sirih,” tambah Iyar yang sentiasa membawa bekas menyimpan sirih ke mana-mana sahaja.

Memandangkan usianya yang kian lanjut dan telah kehilangan beberapa batang gigi, Iyar menggunakan satu alat khas buatan sendiri untuk menumbuk sirih serta pinang sebelum dikunyah.

“Ketika ke kebun saya juga kerap mengunyah sirih kerana apabila memakan sirih terasa seolah-olah mendapat tenaga tambahan. Lagipun mengunyah juga merupakan satu terapi muka,” jelasnya lagi.

Bagi Iyar, sirih juga banyak digunakan sebagai perubatan tradisional bagi mengatasi sakit perut, demam, penyakit dan penyakit kulit.

Iyar (tengah) bersama saudara-mara yang datang berkunjung sedang menikmati sirih masing-masing sambil berbual-bual

Iyar (tengah) bersama saudara-mara yang datang berkunjung sedang menikmati sirih masing-masing sambil berbual-bual

“Sirih turut digunakan bagi mengubati sakit perut dan demam dalam kalangan kanak-kanak. Bahan-bahan yang dikunyah tadi akan disembur ke atas perut kanak-kanak terbabit dan dibiarkan semalaman setelah dibalut dengan menggunakan kain.

“Bagi mengubati sejenis penyakit kulit iaitu kayap atau dalam istilah perubatan herpes zoster, sirih yang telah dikunyah akan disembur ke bahagian badan yang dijangkiti selama tiga hari berturut – turut setiap petang dan akan dibiarkan kering selama beberapa jam.

“Pesakit tidak dibenarkan mandi atau membasahkan bahagian yang telah disembur dengan menggunakan sirih tadi. Pesakit juga dikehendaki mengikut pantang-larang lain yang ditetapkan iaitu tidak boleh makan ayam, belacan, telur dan ikan. Jika pantang larang ini diikuti, nescaya penyakit tersebut akan sembuh,” ujarnya lagi.

Iyar turut menegaskan tugas menyembur sirih hanya boleh dilakukan oleh empat orang di kampung ini sahaja.

“Tugas menyembur dengan menggunakan sirih ini tidak boleh dilakukan oleh sembarangan orang. Hanya Individu yang pernah kematian bapa ketika masih dalam kandungan ibu, ketika berusia satu hingga lima bulan mempunyai keistimewaan tersebut.

“Bayi atau kanak-kanak tersebut dikatakan akan memiliki kebolehan merawat penyakit tersebut suatu hari nanti. Setakat ini hanya empat orang sahaja yang layak dan memiliki keistimewaan tersebut di kampung ini,” ujar Iyar lagi.

sirih 4

Antara pokok sirih yang ditanam di kampung ini

Selain itu, sirih juga digunakan oleh masyarakat di sini untuk mengurut badan pesakit. Sirih akan dipanaskan di atas bara api sebelum disapu dengan minyak kelapa untuk disapu di bahagian yang diurut. Sirih juga boleh direbus untuk dibuat air mandian bagi membuang haba panas dalam badan.

Demikian kata Iyar ketika ditemui semasa program Gotong-Royong Perdana Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada Ahad lepas.

Iyar begitu teruja kerana buat julung kalinya Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa melawat kampungnya sambil beramah mesra dengan penduduk kampung.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi penggemar sirih yang sempat ditemui ialah Tubong Irang berketurunan Kenyah dari Uma Sambob, Long Semutut Belaga.

Tubong, 48, yang secara kebetulan ditemui telah datang ke daerah ini bagi mengikuti anaknya bercuti di daerah kecil Sematan menjelaskan doktor pernah memberitahu bahawa dengan memakan sirih dan pinang sahaja tanpa tembakau dan kapur adalah baik untuk mereka yang menghadapi masalah perut.

“Ini kerana sirih dan pinang dapat membantu mengeluarkan angin atau haba kotor daripada dalam badan. Sejak itu, saya mula mengamalkan hanya memakan sirih dan pinang sahaja sehingga kini.

“Syukur kerana setakat ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan yang serius walaupun telah mempunyai seramai empat orang anak.

“Selain itu, dengan mengunyah sirih semasa memandu terutamanya untuk perjalanan yang jauh juga dapat mengelakkan pemandu daripada mengantuk,” ujar Tubong lagi sebelum mengakhiri perbualan.

-SF

Tinggalkan komen anda