Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Abang Jo Lancar Rumah Spektra Pertama

By 15 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Genda Sating / Foto: Cassidy Lisut

LUNDU, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Rumah Spektra di Sarawak yang berkonsepkan jenis bertiang atas tanah, ukuran ketinggian antara lapan hingga sembilan kaki dan mampu dimiliki merupakan dasar sosial baharu kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman lebih baik kepada masyarakat di pinggir bandar.

Berbeza daripada konsep rumah mesra rakyat yang diperkenalkan kerajaan persekutuan, Rumah Spektra pertama dilancarkan di Lundu dan akan dikembangkan ke daerah lain di negeri ini.

Pix 3 - Ucapan CM

Abang Jo ketika berucap

Konsep rekaan baharu ini bukan sahaja lebih sesuai dan selamat untuk kawasan mudah banjir, malah dapat diubah suai di bahagian bawah menjadikan rumah tersebut sebagai rumah dua tingkat.

“Kerajaan sedar masyarakat yang tinggal di kawasan rendah mudah terdedah kepada banjir dan kerana itu rumah sebegini yang telah siap dibina sebanyak 24 buah, akan ditambah lagi kepada 26 pembinaan rumah baharu,” jelas Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg semasa melancarkan Projek Perumahan Skim Pembesaran Kampung Lundu di Lundu, hari ini.

Abang Johari turut mengumumkan  kerajaan negeri telah menubuhkan agensi yang menyediakan kemudahan pinjaman dikenali sebagai Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd  dan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi membantu mereka yang sukar untuk mendapatkan pinjaman kewangan bagi memiliki kediaman.

Menyentuh legasi Tok Nan membabitkan premium tanah, Abang Jo turut menjelaskan jumlah yang perlu  dibayar pemilik rumah terutama di luar bandar dan kawasan kampung sekitar RM 2,500 akan diteruskan memandangkan kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan di bandar yang berdasarkan harga pasaran.

“Dasar perumahan yang membantu rakyat merupakan pendekatan sentrik masyarakat dari zaman Tun Taib Mahmud dan Tok Nan, pendekatan ini akan ditambah nilai,” tambah Abang Johari lagi.

-SF

Tinggalkan komen anda