Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Budaya Kerja Negatif Sebabkan Pekerja Tertekan

By 3 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Daniel Jong, Jamilah Sulaiman & Suzilawati Kamarudin (Seremban)

SEREMBAN, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Situasi kerja yang negatif boleh menyebabkan pekerja mengalami tekanan berlebihan dan keadaan diri tidak terurus, di samping boleh memberikan kesan kepada kesejahteraan mental dan fizikal mereka.

Pegawai Daerah Seremban, Zaidi Johari berkata, adalah menjadi satu keperluan bagi setiap organisasi untuk mewujudkan budaya tempat kerja yang positif kerana kesihatan mental yang baik adalah penting bagi memastikan produktiviti dan keuntungan yang lebih tinggi kepada sesebuah organisasi.

“Keseimbangan emosi pekerja merupakan penanda aras kepada pencapaian sesebuah organisasi. Faktor keselamatan pekerja juga menjadi nadi utama kepada kemampuan sesebuah jabatan untuk menghasilkan budaya kerja yang baik,” katanya semasa merasmikan Program Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan peringkat daerah Seremban, di sini semalam.

Program yang diadakan selama dua hari ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendedahkan masyarakat umum khasnya pihak majikan tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

Menurut Zaidi, pekerja yang mengalami tekanan turut menyumbang kepada kepada peningkatan kadar kemalangan dan kecederaan semasa bekerja kerana tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasan yang dilakukan.

Tambahnya, terdapat juga sesetengah majikan yang menyebabkan tekanan di tempat kerja seperti mengarahkan pekerja untuk bertugas pada hujung minggu sehingga menyebabkan pekerja tidak berpeluang untuk bersama ahli keluarga dengan alasan untuk menggandakan keuntungan organisasi.

“Untuk menjadi sebuah tempat kerja yang baik dan kondusif, saya mengalakkan juga semua jabatan dan agensi kerajaan di Seremban untuk mengadakan kempen pendidikan mengenai kesihatan mental di tempat kerja masing-masing bagi memastikan para pekerja berada di dalam keadaan yang selesa dan selamat,” jelasnya lagi.

Sebanyak 16 jabatan dan agensi kerajaan telah mengambil bahagian dalam penganjuran karnival ini.

– AH

Tinggalkan komen anda