Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Dana Untuk Asnaf

By 12 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

TAWAU, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Melakukan apa sahaja yang terdaya untuk sebuah tempat berteduh, remaja-remaja di Pertubuhan Kasih Illahi Sabah (PERKKIS), disini menggembleng tenaga membantu mendapatkan dana tambahan untuk menampung sewa, tanpa mengeluh sedikit pun.

Rasa tanggungjawab membantu melunaskan sewa sebanyak RM1600 sebulan, tanpa segan mereka menjual kuih muih, beserta hasil tangan yang diusahakan bersama di PERKKIS.

Menurut Timbalan Pengerusi PERKKIS, Maznah Redewan, selain sumbangan daripada individu-individu serta dana yang diusahakan sendiri, penghuni rumah tersebut diajar pelbagai kemahiran antaranya membuat kuih-muih dan kemudian menjualnya.

Hasil jualan akan digunakan untuk menampung keperluan harian penghuni di sini.

Hasil jualan akan digunakan untuk menampung keperluan harian penghuni di sini.

“Hasil daripada jualan ini digunakan untuk menampung keperluan termasuklah untuk membayar sewa. Ini sebagai melatih mereka agar bertanggungjawab dan tidak mengharapkan pemberian orang semata,” kata Maznah.

Rumah perlindungan yang baru berpindah di Taman Pick Yard tersebut ditubuhkan sejak 2012, merupakan idea asal tiga sekawan termasuk Maznah yang sebelum ini banyak terlibat dengan kerja-kerja amal.

Katanya, melihat keadaan anak-anak dan remaja yang banyak berlaku pengabaian hingga menyebabkan pelbagai gejala sosial, mereka bertiga termasuklah Pengerusi PERKKIS, Sayyidah Nafisah Tarmizi bersepakat dan berusaha untuk membantu anak-anak ini.

“Anak-anak dan remaja ini sangat memerlukan perhatian untuk dibina
insaniahnya, selain membantu mereka memenuhi keperluan hidup dan pendidikan yang sempurna,” ujarnya.

Penghuni juga dibekalkan dengan ilmu agama selain pendidikan formal. Malah ada dikalangan mereka berjaya melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Penghuni juga dibekalkan dengan ilmu agama selain pendidikan formal. Malah ada dikalangan mereka berjaya melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Mengulas lanjut, menurut Maznah adakalanya usaha-usaha tersebut masih tidak dapat menampung segala perbelanjaan setiap bulan yang mencecah RM13,000.

Katanya lagi, perbelanjaan tersebut selain untuk membayar sewa rumah, ianya juga digunakan untuk pembayaran bil air dan elektrik, makanan, barang keperluan diri dan kesihatan, pengangkutan, saguhati petugas, pengurusan dan kecemasan.

“Justeru, kami akan menghantar surat memohon sumbangan kepada syarikat-syarikat, kedai-kedai, restoran, persatuan-persatuan, NGO dan orang perseorangan serta kenalan,” katanya.

Menurut Maznah penghuni yang seramai 15 yang rata-ratanya perempuan itu berumur dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan keluarga yang bermasalah.

“Remaja ini ada yang berasal dari Sandakan dan Lahad Datu dan diasuh serta dididik oleh dua orang penjaga merangkap ustazah yang mengajar mereka,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua mereka belajar tahfiz dan mereka turut menghadapi peperiksaan di mana jika mereka mendapat keputusan yang baik mereka layak untuk menyambung pelajaran ke Jordan atau Mesir.

“Syarikat GISB Holdings bahagian pendidikan agama yang mengendalikan peperiksaan mereka dan syarikat inilah yang sebelum ini menaja pembelajaran mereka,” jelasnya lagi.

Menurutnya juga, anak-anak ini dinilai melalui keputusan peperiksaan dan syarikat GISB bertanggungjawab menyediakan soalan dan menghantar kepada PERKKIS hingga salah seorang penghuni pernah ditaja meneruskan pelajaran ke Jordan kerana kecemerlangannya.

Bagi keperluan menyambut Syawal pula, menurut Maznah mereka perlu berkerja keras mencari penaja pakaian dan keperluan yang lain, kerana sebolehnya mereka mahu anak-anak ini turut merasai nikmat berhari raya seperti kanak-kanak yang lain.

“Memang kalau dekat raya tu mereka akan tanya juga jika ada baju dan kasut untuk mereka, kami sambut raya macam orang lain juga, kami masak dan menyediakan juadah bersama, kemudian kami memenuhi jemputan orang,” tambahnya lagi.

Harapan Maznah, agar lebih ramai yang sudi membantu mereka dan menghulurkan apa sahaja bentuk sumbangan demi membantu anak-anak asnaf ini.

Sementara itu, Malaysiaaktif turut mendapatkan respon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau namun masih belum mendapat maklum balas kerana pegawai yang bertanggungjawab berada di luar kawasan.

-SH

Tinggalkan komen anda