Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Keluar Awal Esok – Pengerusi SPR

By 17 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto: Mahmud Sulaiman

LUNDU, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan para pengundi untuk keluar awal pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) N.03 Tanjong Datu esok untuk memudahkan proses pengundian.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata demikian semasa mengadakan sidang media selepas Proses Semakan Isi Peti Undi di Dewan Masyarakat Lundu, pagi tadi.

“Kita menggalakkan para pengundi untuk keluar awal memandangkan cuaca yang tidak menentu belakangan ini. Oleh itu, kita mengharapkan pengundi untuk keluar menunaikan kewajipan mereka tidak kira yang berada di Tanjong Datu atau mereka yang menetap di luar kawasan,” kata Hashim.

Hashim ketika menyampaikan ucapan ringkas pagi tadi

Hashim ketika menyampaikan ucapan ringkas pagi tadi

Di samping itu, SPR juga telah mengerahkan para petugas SPR yang dilantik untuk memastikan segala peralatan mengundi lengkap sebelum dibawa ke pusat mengundi masing-masing.

“Semakan secara terperinci telah kita laksanakan pagi ini bagi memastikan segala peralatan untuk proses mengundi lengkap. Ini dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah timbul di pusat mengundi pada esok hari.”

“Di samping itu, semakan yang dibuat pada hari ini adalah untuk menunjukkan tiada unsur-unsur lain dalam peralatan mengundi dan juga memperlihatkan ketelusan dalam proses pilihan raya,” kata Hashim.

Pihak SPR telah menggariskan senarai semak untuk peralatan mengundi termasuk peti undi, kertas undi, jam dan peralatan lain pada pemeriksaan pagi tadi.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak keselamatan iaitu polis bagi menjaga keselamatan pengundi dan kawasan sekitar pusat mengundi. SPR seboleh-bolehnya tidak mahu menerima aduan daripada pengundi esok kerana kita yakin proses pengundian di negeri ini masih aman dan tenteram,” jelas Hashim lagi.

Hashim memberitahu perbincangan telah dibuat bersama pegawai daerah dan polis berhubung perkara berkenaan dan dia yakin proses pengundian esok akan berjalan dengan lancar.

“Sarawak masih lagi mengekalkan prestasi pilihan raya yang bersih. Setakat ini tiada laporan yang kita terima daripada pihak polis tentang salah laku kempen dan tempoh berkempen akan tamat pada 12.00 tengah malam ini,” kata Hashim.

pegawai daerah lundu Hamsein Atar bersama petugas SPR memeriksa beg berisi peralatan mengundi di dewan masyarakat pagi tadi

Pegawai Daerah Lundu, Hamsein Atar bersama petugas SPR memeriksa beg berisi peralatan mengundi di Dewan Masyarakat pagi tadi

Pencapaian berkenaan adalah sama dengan Pilihan Raya Negeri pada tahun lepas yang juga menyaksikan tiada laporan salah laku diterima oleh pihak SPR.

Dalam pada itu, Hashim memberi peringatan kepada para majikan supaya memberi pelepasan kepada pekerja yang hendak membuang undi esok. Menurutnya menjadi satu kesalahan kepada majikan jika menghalang pekerja daripada menunaikan kewajipan mengundi.

“Sabit kesalahan di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 majikan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara setahun jika sabit kesalahan. Hukuman tersebut merupakan satu kaedah bagi menterjemahkan sistem demokrasi di negara ini,” jelas Hashim.

Ketika ditanya mtentang sasaran keluar mengundi esok, SPR sebelum ini telah menetapkan sebanyak 75% dan masih mengekalkan peratusan tersebut.

Hashim percaya sekiranya cuaca menyebelahi, peratusan tersebut dapat dicapai. Hashim menasihatkan para pengundi untuk membawa kad pengenalan untuk mengundi esok dan tidak memberikan kepada individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Mengulas tentang kaedah berkempen menerusi media baharu iaitu media sosial, Hashim berkata kaedah terbaharu tersebut agak susah untuk dikawal memandangkan penggunaannya tidak mempunyai sempadan.

Hashim menambah SPR akan sentiasa melaksanakan pembaharuan dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan dunia teknologi kini.

Pada hari pengundian esok, sebanyak 16 buah pusat mengundi akan dibuka dengan 25 saluran mengundi tidak termasuk dua buah pusat mengundi awal dan dua saluran mengundi awal pada 12 Februari lepas.

Seramai 9,771 orang pengundi berdaftar layak untuk keluar mengundi esok dengan jumlah keseluruhan 9,959 orang termasuk 188 orang pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis.

Keputusan awal Pilihan Raya Kecil N.03 Tanjong Datu dijangka pada 8.00 malam esok dan penjumlahan rasmi undi bakal berlangsung di Dewan Masyarakat Lundu.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda