Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Sarjan Bersara ATM Terima Rumah Baharu

By 9 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Nur Faezah Salam & Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Mohd Nazree Yakup

LUNDU, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tatkala menerima sebuah rumah baharu setelah rumah lamanya musnah dijilat api setahun lepas.

Kebakaran yang berpunca daripada masalah pendawaian elektrik itu, menyebabkan Sarjan bersara Reno Buku sekeluarga terpaksa menyewa rumah di kawasan Kuching.

Gambar rumah Reno yang terbakar pada 9 Mac tahun lepas

Gambar rumah Reno yang terbakar pada 9 Mac tahun lepas

Sarjan Reno ditemui bersama isterinya Buran Kanau ketika diberi kunci rumah oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein di Kampung Gerunggang, Lundu tengah hari tadi.

“Sejak rumah dahulu musnah disebabkan kebakaran pada 9 Mac tahun lepas, kami sekeluarga terpaksa menyewa rumah di Kuching. Rumah ini dibina sepenuhnya oleh ATM dengan bantuan bahan mentah dan kerahan tenaga pembinaan dalam tempoh yang singkat.

Pembinaan rumah ini bermula pada 13 September lalu dan berjaya disiapkan pada 25 Disember tahun lepas iaitu dalam tempoh tiga bulan.

sarjan terima kunci

Hishamuddin menyerahkan kunci kepada Reno Ruku.

“Disebabkan kami tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, pihak tentera seramai 11 orang anggota mempercepat proses pembinaan rumah kami,” ujar Reno yang mula berkhidmat di ATM pada 1967 dan menamatkan perkhidmatannya selepas 23 tahun berkhidmat.

Pembinaan rumah  Sarjan Reno yang dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih, ruang tamu, dapur dan tiga buah bilik tidur merupakan salah satu Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 7, menerusi 1 Malaysia Veteran Home Repair Programme yang menelan sebanyak RM50 ribu.

Sementara itu, menerusi NBOS 7, ATM telah menyiapkan lima buah rumah di sekitar Lundu dan Bau sementara enam buah rumah lagi masih dalam pembinaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang hadir bersama Azizul Adenan anak calon Barisan Nasional PRK Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu menyatakan agenda mereka untuk memastikan kebajikan Veteran ATM terbela akan diteruskan.

Hishammuddin dan Azizul ketika ditemu bual media tengah hari tadi.

Hishammuddin dan Azizul ketika ditemu bual media tengah hari tadi.

“Rumah Veteran ATM yang terbakar ini kita janji untuk bina semula. Ini bermakna agenda kita untuk memastikan kebajikan Veteran terbela merupakan agenda yang berterusan.  Hari ini apabila rumah itu siap jelas menunjukkan komitmen ATM dan kementerian kepada kebajikan Veteran dan anggotanya.

“Bulan lepas kita telah mengadakan permukiman. Hala tuju pada tahun ini telah ditetapkan. Pembelaan kepada anggota, naik taraf kem, rumah keluarga angkatan tentera, rumah mampu milik untuk anggota dan Veteran ATM tetap merupakan agenda utama kita,” ujarnya ketika ditemui media di SK Bumiputera tengah hari tadi.

-SF

Tinggalkan komen anda