Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Tempias Positif PRK Buat Sahabat Penggunting Rambut

By 8 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh: Luhat Ajang

LUNDU, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, musim Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu yang sedang berlangsung membuka ruang kepada para peniaga tempatan menambah rezeki masing-masing.

Senario semasa yang jelas kelihatan bukan sahaja pasar Lundu mula dipenuhi pengunjung malah dua orang sahabat karib, Kampung Sileng Melayu, Azman Lorin dan Jumeri Pakar, 44, pemilik kedai Gunting Rambut Mancho turut menerima tempias positif demam PRK kali ini.

“Setakat ini rezeki mereka sentiasa ada tambah-tambah lagi pada musim perayaan dan ‘demam pilihan raya’ yang melanda Pekan Lundu kini.

“Kedai gunting ini sentiasa terbuka menerima pelanggan walaupun kadang-kadang sampai ‘tak menang tangan’. Adakalanya kami juga menggunting rambut dari rumah ke rumah terutama bagi pelanggan yang telah lanjut usia atau orang kelainan upaya,” ujar Azman.

Dengan kadar sewa sebanyak RM55 sebulan, seperti peniaga lain Azman dan Jumeri yang telah membuka kedai mereka sejak enam tahun lepas turut berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan yang berbeza latar belakang.

Pemilik Kedai Jumeri Pakar (kiri) dan Azman Lorin (kanan)

Pemilik Kedai Jumeri Pakar (kiri) dan Azman Lorin (kanan)

“Bermacam-macam ragam pelanggan telah kami hadapi. Pelanggan juga terdiri daripada pelbagai bangsa mahupun agama kerana Sarawak memang dikenali sebagai sebuah negeri yang berbilang bangsa, agama dan aman.

“Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang mula berniaga, pada peringkat awal jumlah pelanggan yang datang ke kedai agak sedikit. Alhamdulillah lama-kelamaan dari semasa ke semasa kunjungan pelanggan kian bertambah”, jelas Jumari.

Mereka berdua yang ditemui di Pusat Penjaja Jubli Perak, di sini semalam turut menyatakan kesedihan mereka atas kehilangan arwah Tok Nan yang banyak memajukan Lundu.

“Kami berasa sedih dan terkilan atas pemergian penyandang kerusi DUN N.03 Tanjong Datu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas. Bagi kami Arwah Tok Nan telah berjaya membawa pembangunan terutamanya di kawasan ini.

“Kehilangannya akan terus dirasai sampai bila-bila. Ini disebabkan Arwah Tok Nan merupakan seorang pemimpin yang tiada galang gantinya”, kata Azman.

Sementara itu salah seorang pelanggan dari Kampung Sampadi, Amran Arshad, 40 memberitahu dia memilih kedai gunting rambut Mancho oleh sebab layanan yang baik.

Pix 5 Pelanggan tetap

Dua sahabat yang juga pemilik kedai gunting rambut ‘mancho’ sedang sibuk memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan mereka.

“Saya sering datang ke kedai gunting rambut ini kerana berpuas hati dengan khidmat yang diberikan oleh pemilik kedai. Saya turut mengajak rakan–rakan untuk datang menggunakan khidmat menggunting rambut di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, apabila diajukan soalan berkenaan pendapat mereka tentang pemilihan Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRK N.03 Tanjong Datu ini, mereka tanpa berselindung menyatakan bahawa Jamilah ialah pilihan yang tepat

“Sebagai Balu Allahyarham Tok Nan adalah lebih senang untuk beliau meneruskan agenda pembangunan di kawasan ini. Lagipun masyarakat memang sudah mengenali Jamilah secara dekat kerana sering menemani arwah selama ini.

“Persoalan lelaki mahupun wanita yang menjadi wakil rakyat tidak timbul kerana kami amat yakin dan percaya Jamilah juga memiliki kebolehan tersendiri dalam memajukan kawasan Tanjong Datu.

“Harapan kami agar kerajaan menyediakan bangunan atau kedai yang lebih besar dan selesa untuk kemudahan dan keselesaan penyewa kedai dan para pelanggan pada masa akan datang,” ujar mereka mengakhiri perbualan.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda