Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurRencana & PendapatWilayah Persekutuan

Perundangan dan Keadilan Kanak-Kanak, Ditambah Baik

By 15 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh  : Izzideen Khairi Zakaria / Foto oleh : Herman Hamid

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Mengambil kira peningkatan isu jenayah terhadap kanak-kanak khususnya jenayah seksual, Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 akan dibentangkan ke sesi Parlimen dalam masa terdekat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Menurut Penaung Program PERMATA Negara, PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, rang undang-undang ini antara lain akan meneliti dan memperincikan isu-isu khusus seperti persediaan seksual dalam dan luar talian (sexual grooming), kesalahan pornografi, hukuman setimpal dan penerimaan keterangan kanak-kanak.

“Jika dilihat dari tahun 2014 hingga 2016, jenayah seksual terhadap kanak-kanak seperti rogol, sumbang mahram dan seks di luar tabii merupakan penyumbang peratusan paling tinggi. Paling membimbangkan perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh keluarga mangsa sendiri,” jelasnya ketika majlis penutup Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak : Hentikan!!

WhatsApp Image 2017-03-15 at 10.27.38 AM

Majlis perasmian penutup yang disempurnakan Penaung Program PERMATA Negara, Datin Rosmah Mansor di Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC)

Tambah beliau, Kerajaan turut bercadang menubuhkan Mahkamah Jenayah Khas bagi mengendalikan prosiding jenayah khusus yang hanya akan melibatkan pesalah dan mangsa jenayah seksual kanak-kanak. Langkah ini dilihat sebagai usaha Kerajaan untuk menjaga kepentingan dan masa hadapan golongan itu.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa mahkamah jenayah khas itu berbeza dengan mahkamah kanak-kanak sedia ada yang mengendalikan pelbagai kes melibatkan pesalah dan mangsa di bawah umur 18 tahun. Selepas ini sekiranya terdapat jenayah seksual kanak-kanak ia akan dijalankan secara berasingan.” katanya.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dengan pengendalian penyiasatan, perlindungan, pendakwaan, pemberian perkhidmatan sokongan, pemulihan dan pencegahan disarankan semua  mengemas kini semua prosedur sedia ada berkaitan dengan jenayah seksual kanak-kanak agar sejajar dengan perkembangan semasa.

“Pada masa yang sama, agensi tersebut juga wajar dilengkapi dengan sumber manusia, kemudahan dan peruntukan kewangan yang secukupnya bagi melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih efektif.

“Agensi yang bertanggungjawab terhadap golongan Orang Kelainan Upaya  (OKU) dan kanak-kanak yang berkeperluan khas perlu diberikan perhatian bagi menghadapi cabaran yang dilalui oleh mereka,” kata Datin Seri Rosmah lagi.

Dalam pada itu, seorang peserta seminar Nor Idzura Suwami, 38, berkata seminar ini adalah platform yang terbaik untuk mengumpulkan pelbagai agensi untuk terlibat sama dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa.

“Seminar ini memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman jenayah kepada golongan kanak-kanak pada masa kini,” jelas beliau.

Bagi Redzuan Kassim, 33, beliau menyeru agar agensi dan masyarakat perlu bersatu padu dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini.

“Seminar ini juga telah memberi impak yang besar dan membuka mata masyarakat Malaysia tentang jenayah yang berlaku terhadap kanak-kanak di bawah 18 tahun,” ujar Redzuan.

Turut hadir di majlis penutup ini ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Hajah Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said.

-MSM

Tinggalkan komen anda