
Laporan / foto oleh : Edawati Sulaiman @ Hod
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM200 juta bagi menaik taraf semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah DBKL yang usang dan tidak terurus tahun ini.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor inisiatif Kerajaan ini melibatkan baik pulih lif, tandas, pintu, cat di bahagian luar dan pendawaian semula di 281 buah PPR dan PA yang telah ditelilti untuk pelaksanaan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada penghuninya.
“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri supaya menggunakan dana sedia ada DBKL dan tidak akan menggunakan dana tambahan Kerajaan Persekutuan,” kata Tengku Adnan semasa lawatan tapak pameran Program ‘We Care, We Serve (Prihatin & Berkhidmat) – Jom Bantu Rakyat’ yang diadakan di PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan dana baik pulih sebanyak RM200 juta bagi Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam di PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur.
Seorang penduduk yang ditemui, Mohd Amin Syed Mihamad, 38, menyokong penuh cadangan Perdana Menteri seperti yang telah dimaklumkan oleh Tengku Adnan yang diibaratkan sebagai ‘buah tangan’ kepada penduduk di PPR dan PA Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur yang sudah lama tinggal di kawasan yang tidak kondusif.
“Isu kerosakan lif, lampu, tandas, sampah dan sebagainya sudah lazim di kawasan ini. Dengan adanya bantuan seperti ini saya berharap semua penduduk di sini sama-sama menjaga segala kemudahan yang telah dibaik pulih dengan sebaik mungkin, menjaga kebersihan bersama serta jauhkan daripada sikap pentingkan diri sendir,” jelas Mohd Amin.

Kemudahan dan keselesaan yang diberikan oleh Kerajaan perlu dijaga bersama agar ia dapat digunakan dalam jangka masa yang lama oleh lebih ramai orang – Mohd Amin Syed Mihamad, 38.
Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, Hussin Yusuf, 57, Program seperti ini selain dapat membantu rakyat ia juga mampu mendekatkan hubungan pemimpin dan masyarakat di mana pemimpin dapat mendengar segala rungutan dan masalah rakyat secara langsung.
“Saya rasa amat bersyukur apabila keluhan kami yang diangkat sebagai cadangan dan mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan. Pengumuman hari ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Baru Air Panas malah semua PPR dan PA di Kuala Lumpur,” ujar Hussin lagi.

Rakyat dan pemimpin berpisah tiada – Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, Hussin Yusuf, 57.
Menurut Ng Eng Choon, 59, pula pengumuman ini berjaya menyatukan penduduk pelbagai kaum untuk sama-sama menikmati kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan yang sentiasa menyelami denyut nadi rakyat khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar dan terbelenggu dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Walaupun kami tinggal di kawasan yang boleh dikatakan sebagai serba kekurangan, namun Kerajaan begitu prihatin dalam menyediakan penyelenggaraan dan kemudahan asas agar pendudk di kawasan ini sentiasa selesa dan hidup dengan harmoni walaupun berlainan bangsa dan agama,” kata Ng.
Dalam pada itu, program ‘We Care, We Serve – Jom Bantu Rakyat’ bertujuan ‘membawa’ penyedian perkhidmatan daripada jabatan Kerajaan dan swasta terus kepada rakyat dengan mengadakan gerai perkhidmatan sehenti bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran dan pertanyaan.
Turut menyertai program ini termasuk pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Selangor yang menawarkan perkhidmatan rawatan kuku, perkhidmatan solekan dan dandanan rambut. Turut ditawarkan perkhidmatan memotong rambut dengan bayaran RM10 bagi seorang pelanggan.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.
-MSM