Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Hospital Daerah Bakal Manfaatkan 180 Ribu Penduduk Bachok

By 13 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Rosli Md.Zin (Bachok)

BACHOK, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan sentiasa berhasrat menyediakan yang terbaik untuk setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik dalam membantu mempermudahkan urusan serta memastikan perkhidmatan dan tahap kesihatan rakyat berada pada aras yang terbaik.

Bachok bakal mempunyai sebuah hospital yang bakal memanfaatkan 180 ribu penduduk tempatan. Projek bernilai RM140 juta yang didirikan di atas tapak seluas 20 hektar mula dibina sejak September 2016 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang September tahun 2019.

Hampir kesemua daerah di Kelantan memiliki hospital - Najib

Hampir kesemua daerah di Kelantan memiliki hospital – Najib

Pembinaan hospital tersebut merupakan antara projek yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), untuk negeri Kelantan. Antara projek lain termasuk pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu serta pengumuman Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menurut Najib, peringkat permulaannya hospital ini akan beroperasi dengan 76 buah katil dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

“Dengan terbinanya hospital ini bermakna hampir seluruh daerah di Kelantan mempunyai hospital daerah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Hospital Bachok serta Jamuan Rakyat yang dihadiri lebih 15,000 penduduk di sini semalam.

Sebahagian daripada 15,000 penduduk yang menghadiri program Jamuan Rakyat, di sini.

Sebahagian daripada 15,000 penduduk yang menghadiri program Jamuan Rakyat, di sini.

Menurut Hani Masood, 56, pembinaan hospital ini dapat mengurangkan bebanan faktor jarak untuk menerima rawatan selama ini.

“Jika berlaku kecemasan maka pesakit akan dihantar ke Hospital Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian atau Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) di Kota Bharu yang jaraknya terlalu jauh.

“Tetapi dengan pembinaan hospital di Bachok ini, rakyat akan lebih mudah dan lebih dekat dalam mendapatkan perkhidmatan serta rawatan susulan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penduduk turut menyambut baik pembinaan ECRL yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kelantan dalam tempoh masa 4 jam sahaja dan antara laluan dan stesen perhentian terlibat terletak di Jelawat.

Menurut Faisal Mat, 51, pengumuman Jelawat sebagai salah satu stesen transit ECRL adalah sesuatu yang tidak diduga dan beliau melahirkan rasa terima kasih dan syukur kerana pembangunan di Bachok mula dirasai.

“Pembinaan hospital daerah dan laluan stesen transit ECRL di Jelawat dilihat tepat dan seimbang dengan kewujudan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Tangok. Ini bakal memudahkan sebahagian besar mahasiswa dari luar Kelantan serta warga UMK,” jelasnya lagi.

 

-SH

Tinggalkan komen anda