
Laporan dan foto oleh : Muhammad Shahir Mustafar (Putrajaya)
LANGKAWI, 24 Mac (Malaysiaaktif) – “Pastikan minum dan bawa bekalan air secukupnya serta elak berada di kawasan yang terbuka dan panas terlalu lama. Langkah ini akan dapat memastikan anda kekal hidrat dan dapat mengurangkan risiko selaran matahari atau strok haba sepanjang lawatan.”
Demikian antara saranan Pakar Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah, Dr. Yuen Chin Leong kepada semua pempamer dan pengunjung Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA2017) yang akan bermula secara rasmi dari 24 hingga 26 Mac.
Jelasnya lagi, seperti penganjuran LIMA sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star Kedah akan mengetuai segmen bantuan kecemasan dan perkhidmatan kesihatan dengan menyediakan dua klinik perubatan mudah alih di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan di Resorts World Langkawi (RWL).

Pakar Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah, Dr. Yuen Chin Leong menunjukan alat bantuan pernafasan (CPR) mudah alih yang terdapat di Klinik Perubatan RWL untuk LIMA2017.
“Klinik Perubatan MIEC dan RWL tidak seperti pusat kesihatan mudah alih lain kerana ia dapat memberikan perkhidmatan yang sama seperti jabatan kecemasan dan trauma di hospital-hospital Kerajaan dan Negeri sedia ada.
“Apa yang lebih menarik, kelengkapan perubatan di sini adalah kelengkapan ‘mobile’ atau mudah alih dan bersaiz kecil namun kegunaanya sama seperti mesin dan alatan perubatan besar yang ada di hospital,” tambah Dr. Yuen lagi yang mengetuai Pusat Perubatan RWL.

Seorang pempamer LIMA2017 mendapatkan rawatan daripada pegawai di Klinik Perubatan RWL setelah mengalami melecet teruk di bahagian kaki.
Menurut Dr. Yuen lagi, ibu bapa yang membawa anak-anak khususnya anak kecil ke pameran LIMA2017 perlu sentiasa mengawasi pergerakan dan kelakuan mereka bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Jika dilihat sekitar kawasan pameran LIMA ini khususnya di Resort World Langkawi yang tidak rata dan berbatu, mohon perhatikan anak-anak supaya mereka tidak tercedera kerana terlalu seronok dengan pameran.
“Sekiranya ibu bapa membawa anak-anak untuk menyertai pameran kapal laut, pastikan kawal pergerakan mereka terutama di laluan turun dan naik kapal untuk mengelakkan mereka terjatuh ke dalam laut,” katanya.
Bagi Jururawat Terlatih, Klinik Perubatan RWL LIMA2017, Norsalawati Abdul Khalit, perkhidmatan klinik itu bermula seawal pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 6.00 petang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan tanpa mengira umur.
“Setelah tiga hari kami beroperasi di Resort Worl Langkawi ini, bantuan perubatan yang paling kerap diberikan termasuk rawatan akibat selaran matahari yang teruk, strok haba dan melecet di bahagian kaki.

Kepuasan bekerja sebagai pegawai kesihatan ini terletak apabila setiap pesakit yang memerlukan rawatan, pulang dengan penyelesaian masalah kesihatan terbaik daripada kami – Jururawat Terlatih, Klinik Perubatan RWL LIMA2017, Norsalawati Abdul Khalit (kiri).
“Kami juga bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan khususnya kes lemas dan penyakit epidemik seperti cacar air seperti yang dilaporkan pada hari kedua operasi kami yang dihidapi oleh salah seorang tentera laut Pakistan,” jelas Norsalawati lagi.
Bagi pengunjung dan pempamer yang memerlukan bantuan kecemasan dan rawatan awal, klinik perubatan LIMA2017 menyediakan seorang doktor pakar, seorang jururawat terlatih, seorang penolong pegawai perubatan dan seorang pembantu perubatan pada setiap shif.
LIMA2017 merupakan pameran produk dan teknologi pertahanan aeroangkasa dan maritim terbesar di Asia Pasifik dan melibatkan 38 negara dan 550 pempamer dari seluruh dunia.
-MSM