Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Kad Ceria Wilayah Persekutuan 2017, Padat Manfaat dan Faedah

By 30 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Ruhamin Ramli / Foto oleh : Nasiron Hasim

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Malaysiaaktif) – “Sebanyak 1 juta keping kad akan diagihkan kepada warga wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan secara percuma terutamanya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).”

Demikian ujar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkenaan penjenamaan semula program kad diskaun iaitu program Kad Ceria Wilayah Persekutuan 2017 yang disifatkan lebih padat dengan faedah dan manfaat.

“Kerajaan berharap melalui penambahbaikan program ini dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang duduk di bandar-bandar besar untuk membeli keperluan harian,” jelasnya semasa majlis pelancaran di Jalan Masjid India di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2017-03-30 at 3.46.13 PM

Menteri Wilayah Persekutuan. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyempurnakan gimik pelancaran Kad Ceria Wilayah Persekutuan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Sebanyak 220 syarikat melibatkan 440 Cawangan termasuk Pasar Raya Besar Mydin dan rangkaian kedai serbaneka seperti 7Eleven serta KK Super Mart menyertai program ini dengan menawarkan diskaun pembelian barang sehingga 70 peratus.

“Antara faedah lain yang boleh dinikmati termasuk pengurangan cukai pintu sebanyak 10 peratus, pengurangan kadar bayaran saman daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan lain-lain agensi,” kata Datuk Seri Adnan lagi.

Pada majlis itu juga turut diadakan Majlis Pencerahan Kad Ceria kepada 13 penerima mewakili setiap Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Menurut penerima yang ditemui, Charanjit Singh, 60, dari Parlimen Batu, beliau berterima kasih kepada Kerajaan kerana begitu prihatin dalam membantu rakyat dan berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

WhatsApp Image 2017-03-30 at 3.49.07 PM

Shamsiah Hj Baka, 55 (dua dari kiri) dan Charanjit Singh, 60 (dua dari kanan) antara penerima bertuah Kad Ceria Wilayah Persekutuan 2017 semasa majlis pelancaran.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan kerana dengan pemberian Kad Ceria Wilayah Persekutuan ini dapatlah membantu mengurangkan kos hidup saya sekeluarga,” ujar beliau.

Menurut penerima dari Parlimen Lembah Pantai, Shamsiah Hj Baka, 55,  beliau melahirkan rasa gembira dan sangat bertuah kerana menjadi salah seorang yang terpilih menerima kad berkenaan dan berharap bantuan tersebut dapat meringankan perbelanjaan harian beliau.

“Saya merasa sangat bertuah kerana menjadi salah seorang penerima pada hari ini.  Kad ini membantu saya membeli barangan harian dengan harga yang lebih rendah berbanding kedai berjenama,” kata Shamsiah.

Kad Ceria Wilayah Persekutuan boleh didapati percuma melalui Pejabat-pejabat Cawangan DBKL, Pusat Khidmat Masyarakat Wilayah Persekutuan serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP).

Turut hadir sama pada di majlis berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Hj Md Ikshan,  dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

-MSM

Tinggalkan komen anda