Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

TN50-Inisiatif Bina Masa Depan Generasi Muda

By 14 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan Oleh: Nur Faezah Salam / Foto: Chua Sim Choon (Sarawak)

KUCHING, 14 Mac (Malaysiaktif) –Generasi muda di negeri ini harus bersemangat untuk melonjakkan nama Sarawak sebagai negeri terkemuka di Malaysia melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam melahirkan pemimpin negara pada masa hadapan.

“Golongan belia kita perlu mempunyai strategi dan aspirasi yang betul agar nama Bumi Kenyalang ini dapat diletakkan setanding dengan pencapaian di Bumi Semenanjung.”

Demikian ujar Ketua Menteri, Datuk Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg semasa Program Roadshow Transformasi Nasional 2050, Dialog TN50 bersama beliau serta Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada Sabtu.

TN50 yang dilancarkan pada 19 Januari 2017 merupakan sebuah aspirasi peringkat nasional yang memerlukan bantuan dan sokongan dari negeri untuk mencapai rangka perjuangan negara kita.

Abang Jo (kiri) menyampaikan ucapan alu-aluan untuk hadirin yang hadir dalam suasana santai.

Abang Jo dan Khairy menyampaikan input masing-masing dalam suasana santai.

Menurut Khairy, melihat teropong masa hadapan dalam tempoh 30 tahun akan datang, kita akan mengalami bukan sahaja perubahan Malaysia secara amnya, malahan pembangunan Sarawak khususnya.

“Kita perlu contohi pemimpin terdahulu yang bukan memikirkan pembangunan untuk masa ini sahaja, malahan mereka memikirkan pembangunan negara 10 hingga 20 tahun ke hadapan demi memastikan masa depan negara untuk generasi akan datang terpelihara,” ujar Khairy lagi.

Tambahnya, kita mempunyai tradisi untuk merancang masa depan seperti yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu misalnya Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.

“Oleh itu, kita harus menyambung tradisi tersebut melalui TN50 sebagai persediaan untuk masa depan negara dengan berfikir jauh ke hadapan meliputi aspek kesihatan, sektor pekerjaan, sistem pendidikan yang lebih canggih khususnya di kawasan pedalaman serta mengambil kira kualiti pendidikan, robotik, kekurangan sumber bekalan makanan dan interaksi sosial dalam memupuk nilai-nilai murni,” tambah Khairy lagi.

Dalam pada itu, TN50 ini bertujuan untuk membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa dari segi ekonomi, sosial dan minda yang dibentuk melalui aspirasi dan hasrat rakyat terutama ‘golongan waris’ iaitu golongan belia berpandukan sasaran yang jelas.

Antara pelajar UNIMAS yang menyampaikan hasrat pembangunan dalam sesi dialog TN50.

Antara pelajar UNIMAS yang menyampaikan hasrat pembangunan dalam sesi dialog TN50.

Semasa sesi dialog, Mahasiswa UNIMAS, Mohamad Shafiq mengutarakan tiga cadangan sebagai lontaran aspirasi yang perlu diberi perhatian iaitu kesihatan rakyat yang lebih baik, keusahawanan dalam kalangan belia bagi memantapkan ekonomi negara dan kemudahan pengangkutan semaju kemudahan pengangkutan yang terdapat di semenanjung.

Di samping itu, penjawat awam, Rawing Uking daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, juga berpendapat TN50 ini ialah satu langkah yang baik untuk mendekatkan jaringan hubungan rakyat khususnya para belia dengan pihak kerajaan.

“TN50 merupakan satu langkah yang bijak oleh kerajaan kerana peluang seumpama ini menggunakan pendekatan terbaik dengan mendengar suara golongan belia sebagai aspirasi rakyat untuk 30 tahun akan datang memandangkan belia hari ini ialah penentu masa depan negara.

“TN50 merangkumi semua bidang penting yang berkait rapat merangkumi aspek pendidikan, gaya hidup yang sihat dan infrastruktur untuk memajukan negara pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat UNIMAS, Nazmi Suhaimi menyatakan konsep TN50 ini berbeza daripada Wawasan 2020 kerana menggunakan Bottom-Up approach iaitu bermula daripada mendengar suara generasi muda melalui sesi dialog sebegini hinggalah akhirnya keputusan akan dibincangkan oleh pihak kerajaan.

“Konsep ini menarik kerana idea-idea datang daripada rakyat khususnya para pelajar universiti akan bercambah dan peluang seperti ini adalah wajar untuk kami menyuarakan permasalahan agar dapat mengenal pasti cara penyelesaian yang lebih baik oleh pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya.

Antara belia yang hadir.

Antara belia yang hadir.

Khairy turut berkongsi bahawa  Sarawak mempunyai aspirasi yang sangat tinggi memandangkan harapan generasi muda memfokuskan pembangunan yang seimbang sama seperti di semenanjung Malaysia.

Selain itu, Khairy juga kagum dengan para belia yang menyebut tentang pembangunan dan penggunaan teknologi seperti penjanaan kuasa elektrik, kesihatan dan sebagainya.

“Melihat sambutan terhadap TN50 yang sangat baik dan wawasan anak-anak negeri ini, Sarawak akan mengalami suatu perubahan yang besar memandangkan aspirasi mereka cukup menggambarkan perkembangan masa depan yang bakal ditempuhi,” ujarnya semasa sidang media.

SF

Tinggalkan komen anda