Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Celik Al-Quran Bantu Anak Autisme Lebih Yakin

By 27 April 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan / Foto: Liza Abdullah (Sabah)

TAWAU, 27 Apr (Malaysiaktif) –Seperti kanak-kanak yang lain, anak-anak autisme juga dilihat mampu belajar dan menghafaz Al-Quran dengan baik sekali gus dapat menambah keyakinan dan semangat mereka saban hari.

Autisme secara saintifik bermaksud gangguan perkembangan yang disebabkan kerosakan otak hingga mengganggu perkembangan komunikasi, tingkah laku, kemampuan bersosial dan kemahiran pembelajaran.

Menurut Pengasas Sahabat Faqeh, Norasmah Mohd Basri, ibu bapa dilihat kurang memahami bahawa anak-anak yang mengalami autisme masih mampu untuk mempelajari al-Quran dengan baik dan lancar.

Pengasas Persatuan Sahabat Faqeh, Norasmah Mohd Basri

Pengasas Persatuan Sahabat Faqeh, Norasmah Mohd Basri

“Ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak autism boleh membaca al-Quran dengan baik jika terus diberi ruang dan masa mempelajari al-Quran dengan teknik dan cara yang betul.

“Di Sahabat Faqeh kami sedia membantu para ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme untuk belajar membaca al-Quran kerana dengan mempelajarinya dapat membantu anak-anak tersebut untuk lebih yakin dan bersemangat.

Jelasnya, sejak menubuhkan persatuan tersebut seramai lapan anak autism berjaya diberi intervensi awal daripada sifar mereka kini dapat menghafal dan menghafaz surah secara perlahan-lahan.

“Sebelum mengikuti kelas tersebut kebanyakan anak memiliki sikap non-verbal (tidak bercakap) tetapi setelah menjalani beberapa siri rangsangan akhirnya mereka mampu membaca dan menghafaz surah dengan baik serta berubah daripada tidak bercakap kepada gemar melakukan aktiviti bersama.

Norasmah berkata demikian semasa menyertai program ‘Walk For Autism 2017’ di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Selasa.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen P190 Tawau, Datuk Dr. Mary Yap Kian Ching berkata masyarakat perlu memberi sokongan moral kepada ibu bapa yang memiliki anak-anak istimewa ini agar mereka tidak merasa terpinggir.

“Ibu bapa perlu ambil berat terhadap anak-anak yang mengalami autisme dengan sentiasa merujuk dengan pihak hospital bagi mendapat rawatan yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

Mary Yap (empat dari kanan) menyampaikan medal kepada 10 peserta terawal sampai ke garisan penamat sambil disaksikan Dr.Norlimah Arsad, Pengarah Hospital Tawau.

Mary Yap (empat dari kanan) menyampaikan medal kepada 10 peserta terawal sampai ke garisan penamat sambil disaksikan Dr.Norlimah Arsad, Pengarah Hospital Tawau.

“Kepekaan ibu bapa terhadap perkembangan anak-anak mampu membantu mengesan serta dapat mengambil tindakan awal bagi memastikan anak-anak tersebut mencapai tahap perkembangan optimum serta menjadi orang dewasa yang proaktif bersama keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemulihan Carakerja Hospital Tawau, Mohd Naim Mohd Sulaiman berkata hanya 80 kes autisme yang didaftarkan di daerah ini.

“Perkara ini menunjukkan bahawa masih ramai kalangan ibu bapa yang tidak peka dan malu untuk melapor atau kurang memahami permasalahan autisme ini.

“Sehubungan itu, program ini dilaksanakan sebagai memberi pendedahan kepada para ibu bapa terhadap pengetahuan permasalahan autisme ini selain menggalakkan penyertaan kesukarelawan terhadap rasa tanggungjawab untuk membantu kanak-kanak terbabit.

“Selain itu, program ini turut mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta serta keluarga anak-anak autisme ini.

Naim yang merupakan Penyelaras Program turut menjelaskan seramai lebih 700 peserta bersama 150 sukarelawan telah menyertai dan menjayakan program tersebut yang bertemakan ‘It’s Not A Race, It’s A Journey’.

“Penganjuran program kali ini dilihat mendapat sambutan menggalakkan berbanding tahun sebelumnya berikutan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Jabatan Rehabilitasi Hospital Tawau yang dipengerusikan bersama Presiden Majlis Perbandaran Tawau,” ujarnya.

Bagi peserta, Faahir Tiru, 28, bertugas sebagai akauntan di sebuah firma akauntan swasta turut menyatakan rasa gembira dengan pelaksanaan program tersebut dan berjaya menamatkan aktiviti berjalan kaki sejauh 5km.

Faahir turut berkata, walaupun tiada dalam kalangan ahli keluarga yang mengalami autisme, dia  tetap hadir sebagai sokongan bagi menjayakan pelaksanaan program ini.

-SF

Tinggalkan komen anda