Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

Hishammuddin Dilantik Bagi Kukuh Institusi Kepimpinan – TPM

By 19 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 19 Apr (Malaysiaktif) – “Pelantikan Datuk Seri Hisham sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas bukanlah bertujuan mengambil alih tugas-tugas menteri tetapi untuk mengukuhkan institusi kepimpinan kerajaan,” ujar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya di sini, siang tadi.

Kunjungan hormat secara rasmi itu bertujuan untuk membincangkan beberapa tugasan penting, dilakukan seminggu selepas pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri pada 12 April lalu.

Zahid berharap agar tiada lagi spekulasi negatif terhadap tugasan baharu yang diberikan kepada Hishammuddin

Zahid berharap agar tiada lagi spekulasi negatif terhadap tugasan baharu yang diberikan kepada Hishammuddin

Menurut Ahmad Zahid, beliau menyokong tugas baharu Hishammuddin dalam mengukuhkan institusi kepimpinan sedia ada ini, dan berharap agar agar tiada lagi spekulasi negatif terhadap tugasan baharu yang diberikan tersebut.

“Penugasan yang diberikan ini turut melibatkan perkara-perkara yang ada hubung kaitnya dengan beberapa isu rumit yang pernah dilalui pihak kerajaan dan parti.

“Saya yakin dengan pengalaman yang panjang Datuk Seri Hisham dalam kerajaan dan parti, beliau akan dapat membantu perdana menteri dan secara tidak langsung membantu saya untuk memperkukuhkan institusi kepimpinan,” katanya.

Dalam pada itu Zahid turut mengulas tugas Hishammuddin yang kini bertanggungjawab dalam memantau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bukanlah untuk membayangi tugasnya.

“Cadangan untuk tugas tambahan ini dibuat oleh saya sendiri kira-kira tiga bulan yang lalu, dan tugas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri adalah satu pancaran keikhlasan daripada saya secara peribadi dan juga secara rasmi kepada Datuk Seri Hisham kerana banyak bidang-bidang tugas boleh dilaksanakan selain bertanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan.

“Pelantikan ini juga dilihat sebagai penyelesaian terhadap beberapa isu yang berbangkit di dalam negara ataupun isu-isu luar negara. Mungkin oleh kerana bebanan dan kesibukkan waktu perdana menteri, dan saya sendiri akan meminta Datuk Seri Hisham untuk mewakili kerajaan untuk melakukan beberapa usaha bukan hanya sekadar memperkukuhkan jalinan dua hala dengan beberapa tokoh di negara-negara tertentu tetapi pada hemat saya beliau boleh melaksanakan tugas yang selama ini terbeban kepada perdana menteri dan saya sendiri,” jelasnya lagi.

Sementara itu Hishammuddin menjelaskan, lawatan dan kunjungan ini penting mengikut adat dan penghormatan beliau terhadap Zahid.

“Penting untuk kita tunjukkan kepada orang ramai bahawa hubungan yang erat yang telah dibina selama ini dapat diperkukuhkan lagi dan tugas-tugas tambahan yang diamanahkan kepada saya.

“Saya rasa begitu lega walaupun bermacam cerita berhubung kait dengan hubungan kami, tetapi percayalah kita akan buktikan bahawa ini bukan retorik atau mainan. Saya secara ikhlas dan jujur menyatakan bahawa hubungan saya dengan Datuk Seri Zahid begitu selesa,” ujarnya.

Hishammuddin masih kekal sebagai Menteri Pertahanan dan pelantikan tersebut akan membolehkan beliau menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab berkenaan.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda