Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pengetahuan, Kesedaran Mampu Banteras Salah Guna Dadah

By 1 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan oleh: Mahdini Jaini / Foto: Bolhan Basah (Sarawak)

LAWAS, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Kepentingan memiliki pengetahuan dan kesedaran terhadap bahaya dadah penting dalam kalangan masyarakat bagi memastikan komitmen berterusan dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

Menurut Kaunselor dan Pakar Terapi Rumah PENGASIH Malaysia Azhar Abdul Rahman, 36, masyarakat perlu bersikap terbuka dalam menangani masalah dadah terutama apabila mengetahui terdapat ahli keluarga atau rakan-rakan yang terlibat dengan ketagihan dadah.

Kaunselor PENGASIH Malaysia, Azhar Abdul Rahman (kiri) bersama salah seorang pelajar SMK Merapok ketika sesi perkongsian maklumat.

Kaunselor PENGASIH Malaysia, Azhar Abdul Rahman (kiri) bersama salah seorang pelajar SMK Merapok.

“Pengalaman saya sejak 10 tahun lalu bersama PENGASIH Malaysia mendapati belia terutamanya kaum lelaki terjebak dengan dadah seawal 15 tahun dan majoriti mereka terlibat dengan ketagihan syabu atau nama saintifiknya metamfetamin.

“Pelbagai faktor mendorong penagihan dadah dalam kalangan anak muda antaranya perasaan ingin mencuba yang kuat, dorongan rakan keliling dan masalah keruntuhan institusi kekeluargaan di rumah.

“Selain itu, tiada pemantauan dan pemerhatian ketat daripada ibu bapa akibat sibuk berkerja turut mendorong anak-anak berjinak-jinak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah”, kata Azhar semasa Taklimat Minda di SMK Merapok, Lawas hari ini.

Azhar yang juga merupakan bekas penagih menceritakan pengalamannya ketika mula terlibat dengan kegiatan dadah, dia hanya mengambil dadah sekadar untuk mencuba namun akhirnya mengakibatkan ketagihan.

Dia yang pernah menyertai program Pemulihan Dadah antarabangsa di bawah The Colombo Plan menyatakan, kesedaran kendiri dan semangat yang tinggi untuk pulih amat penting dalam kalangan bekas penagih semasa program pemulihan di samping melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang impak negatif dadah.

Dayang Saadiah (berbaju biru gelap) ketika menjawab soalan

Dayang Saadiah (dua dari kiri) ketika ditemui Malaysia Aktif

Sementara itu, salah seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Merapok Lawas, Dayang Saadiah Ahmad, 49, menyatakan menjadi tanggungjawab keluarga terutamanya ibu bapa untuk sentiasa memantau kegiatan anak-anak.

“Saya secara peribadi sering mengikuti perkembangan semasa berkaitan masalah penyalahgunaan dadah di Lawas ini. Kejadian seorang guru yang ditangkap polis kerana memiliki dadah baru-baru ini turut merisaukan kami yang memiliki anak remaja dan masih bersekolah.

“Sebagai ibu bapa, saya sering menasihati anak saya agar berhati-hati dalam pergaulan dan sentiasa menggalakkannya mengikuti program bersifat motivasi di sekolah agar masanya terisi dengan aktiviti berfaedah”, ujarnya.

Wilma William (berbaju coklat) bersama rakannya, Francina Suut.

Wilma William (kanan) bersama rakannya, Francina Suut.

Dalam pada itu, pelajar Jurusan Ekonomi Tingkatan Enam Atas SMK Merapok Wilma William menyatakan dia amat teruja dengan sesi taklimat yang diadakan kerana pengisiannya sangat menarik dan membuka mindanya sebagai pelajar untuk lebih peka dengan isu dadah.

“Banyak maklumat berkaitan bahaya dadah yang dapat saya peroleh pada hari ini terutama apabila mendengar pengalaman secara langsung daripada panel penceramah daripada PENGASIH tentang kisahnya terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga sembuh daripada ketagihan.

“Ini sekali gus memberi kesedaran kepada diri saya dan rakan-rakan lain yang hadir pada hari ini untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah. Pastinya terlalu banyak impak negatif yang bakal kita rasai apabila ketagihan dadah”, kata Wilma.

Terdahulu, program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang dihadiri kira-kira 500 orang telah disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

SF

Tinggalkan komen anda