Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

DTTV Luaskan Penerimaan Siaran TV

By 22 Mei 2017Tiada komen5 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Bulka / Foto: Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)

SANDAKAN, 22 Mei (Malaysiaktif) – Program menghubung dan menyatu (CTU) dianggap memberi sinar ceria masyarakat luar bandar menikmati kemudahan perhubungan dalam talian termasuk siaran televisyen.

Ibu muda Marlyana Saleh, 25, meluahkan rasa bersyukur atas pemberian set rekoder Njoi yang merupakan rangkaian terbaharu Digital Terestrial Television (DTTV) semasa program CTU anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di kampung rancangan Luboh pada Sabtu.

“Kini kami sekeluarga boleh lihat berbagai-bagai saluran rancangan bermaklumat,” ujarnya Marlyana yang merupakan salah seorang penerima daripada 10 penerima bertuah menerima set televisyen dan Njoi serta set barangan dapur di Kampung Rancangan Labuk Peringkat 6, di sini.

“Saya gembira dapat menonton 28 pilihan rancangan yang diberi secara percuma, dan setahu saya antara pilihan tersebut ialah pembelajaran kanak-kanak dan ini sangat baik untuk pembelajaran anak saya,” katanya yang mempunyai anak berusia lima tahun.

Menurut Marlyana, walaupun kampungnya terletak sejauh 13 kilometer dari jalan utama, namun itu bukan alasan anaknya akan terpinggir daripada corak pembelajaran yang terkini.

“Adakalanya anak-anak akan jemu jika belajar menerusi buku, justeru dengan adanya njoi, diharap akan dapat banyak membantu serta dapat menarik minatnya dalam pembelajaran yang lebih menyeronokkan,” katanya.

Pelaksanaan program tersebut dianggap tepat memandangkan kawasan kampung tersebut turut bakal menerima impak pembangunan setelah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengumumkan seluas 1,355 ekar di kawasan berkenaan sebagai kawasan Hub Pendidikan bagi daerah di Pantai Timur Sabah.

Pengumuman tersebut membolehkan rancangan Luboh juga turut menerima tempias pelbagai kemudahan infrastruktur canggih, moden dan sofistikated yang kini hampir 90 peratus siap.

Sementara itu, Ketua Kampung, Gapor Basim, 74, merasa gembira dengan perkembangan dan pelaksanaan program CTU tersebut sejajar pemberian yang tepat memenuhi keperluan penduduk iaitu pemberian set rekoder tersebut.

Ketua Kampung, Gapor Basim.

Ketua Kampung, Gapor Basim.

Selain itu katanya, kehadiran ramai pelawat dari luar ke kampungnya dengan membawa hadiah yang sangat bermakna untuk masyarakat di situ ibarat suatu rahmat yang perlu disyukuri.

“Kampung kami agak jauh dari jalan utama, jadi sangat jarang menerima pelawat. Sekurang-kurangnya dengan menerima sumbangan tersebut, kami di sini akan mudah menerima informasi bantuan-bantuan kerajaan yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, rata-rata penduduk kampung yang terdiri daripada nelayan dan pekebun kurang terdedah dengan dunia luar, maka dengan menerima set televisyen tersebut diharap mereka tidak akan ketinggalan.

“Saya juga berharap agar selepas ini kampung kami akan lebih dikenali dan lebih ramai lagi agensi yang masuk untuk menghulurkan bantuan, dan sedikit sebanyak mengajar wanita-wanita di kampung untuk berniaga bagi membantu pendapatan keluarga,” ujarnya.

Berikutan kampung tersebut termasuk dalam kawasan hub pendidikan yang kini semakin pesat membangun, kemudahan Inernet suatu kemudahan yang pasti mampu membawa perubahan di kampung tersebut.

Kata Gapor, kemudahan talian Internet yang ada di kampung ini pasti dapat membantu kebanyakan wanita di kampung tersebut yang berbakat dalam membuat kraf, dan berharap jika ada yang sudi untuk menyediakan bengkel khas agar mereka dapat membuat kraf dan menjahit, seterusnya memasarkannya menerusi dalam talian.

Dalam pada itu, seorang pesara kerajaan, Jani Juhai, 78, turut bertuah menerima sumbangan daripada KKMM.

Jani Juhai (Berkopiah) bersama sahabat yang juga merupakan penduduk kampung tersebut

Jani Juhai (Berkopiah) bersama sahabat yang juga merupakan penduduk kampung tersebut

“Penerimaan ini sebagai tanda kasih sayang daripada kerajaan yang menunjukkan kami tidak pernah dilupakan ditambah lagi barangan dapur yang saya terima ini lebih dari cukup untuk saya sekeluarga,” ujarnya.

Tambahnya, sumbangan itu banyak membantunya yang telah bersara dalam menjalani kehidupan harian yang hanya bergantung dengan jualan pisang goreng yang diusahakan oleh isteri dan anaknya dengan bermodalkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterimanya.

“Bagi menambah pendapatan kami, saya berharap dalam kunjungan seterusnya ada yang sudi membantu kami membuat tanaman sayur-sayuran sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri kerana dengan kesihatan sebegini saya rasa perlunya ada pendapatan sampingan bagi membantu isteri,” katanya yang turut menerima sumbangan berupa barangan dapur.

Jani yang menghidap darah tinggi dan kencing manis perlu berulang ke hospital untuk membuat pemeriksaan selang empat bulan, manakala isterinya pula menghidap masalah jantung yang perlu membuat pemeriksaan saban minggu.

“Dengan itu, selain bantuan BR1M dan hasil jualan pisang goreng, kemungkinan dengan bercucuk tanam dapat membantu kewangan kami,”katanya.

Namun begitu, dengan keadaan kaki yang tidak begitu kuat dan bahu yang sering merasa lenguh, Jani masih menggagahkan diri turut serta dalam gotong-royong yang merupakan pengisian dalam program tersebut.

“Adakalanya walau tidak sihat, kita tidak perlu fikirkan sangat, dengan bergotong-royong sambil bergurau dengan teman-teman juga dapat membantu saya merasa sihat,” kata Jani.

Program yang dijalankan selama dua hari itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol.

Turut menghadiri majlis tersebut Setiausaha Bahagian Sumber Manusia KKMM, Abdul Shukor Mahmood dan Pengarah Penerangan Sabah, Suwadi Guliling.

Setiausaha Bahagian Sumber Manusia KKMM, Abdul Shukor Mahmood bersama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol

Setiausaha Bahagian Sumber Manusia KKMM, Abdul Shukor Mahmood (empat dari kiri) bersama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol (tiga dari kiri) memberikan sumbangan.

Abdul Shukor yang juga mewakili Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata hasrat Kementerian lebih kepada menghubung dan menyatu serta KKMM lebih menumpukan agar rakyat dapat berhubungan melalui akses Internet.

“Sasaran kita sebanyak 80 peratus Internet akan dapat dicapai oleh rakyat Malaysia, maka kita turut menyediakan infrastruktur untuk komunikasi dan memperkasakan lagi perkhidmatan akses untuk memudahkan penyampaian perkhidmatan dalam menghubung dan menyatu,” katanya.

Menurutnya, perancangan selepas ini KKMM akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan supaya apa-apa yang telah dirancang ini akan tercapai.

“Bermakna jika kita setakat merancang dan membiarkan setakat ini sahaja maka objektif tidak akan tercapai, kerana tidak ada unsur-unsur pemantauan kerana kita inginkan supaya rakyat terhubung dengan sebaiknya,” katanya.

Program yang telah bermula sejak 2015 di Pahang ini dianjurkan bertujuan untuk merakyatkan perkhidmatan yang disediakan oleh KKMM serta agensi luar dengan masyarakat setempat selain dapat mengurangkan jurang antara masyarakat bandar dengan kawasan pendalaman dan sekali gus mendekatkan masyarakat tempatan dengan agensi-agensi kerajaan melalui komunikasi bersemuka dan jaringan telekomunikasi.

KKMM menyasarkan kawasan-kawasan pendalaman terpencil yang kurang mempunyai akses berdasarkan pelan menara komunikasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Terdahulu, Ahli Parlimen P.189 Libaran, Datuk Juslie Ajirol ketika merasmikan program berkenaan berkata, program ini bukan sahaja dapat membantu kerajaan menyampaikan dasar-dasar kerajaan tetapi juga mengeratkan perpaduan rakyat di negeri ini.

“Melihat suasana hari ini, nampaknya program berjalan dengan baik dan benar-benar menghubung dan menyatukan masyarakat setempat dan kawasan berhampiran yang turut bersama-sama hadir di sini sejak pagi.

“Program anjuran KKMM bersama dengan Majlis Perbandaran Sandakan patut diteruskan di kawasan-kawasan pedalaman lain yang terpencil agar matlamat program dapat dicapai.

“Dengan perancangan yang lebih mantap, saya percaya program ini akan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat, seterusnya menjadikan negara berjaya dan akhirnya kita akan lebih dihormati oleh rakan? serta negara jiran,” ujarnya.

SF/AAS

Tinggalkan komen anda