Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Pelajar Luar Bandar Cemerlang STPM Dedah Rahsia Kejayaan

By 8 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh:  M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Anak sulung daripada tujuh adik-beradik, Nurul Izzani Abu Hashim, 21, bertekad menjadi contoh terbaik kepada adik-adiknya untuk berjaya dalam pelajaran.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong ini memperoleh keputusan cemerlang 4A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2016 meletakkan dirinya antara pelajar cemerlang STPM Negeri Melaka tahun 2016.

Menurut Nurul Izzani, “usaha saya selama ini berbaloi dengan mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Setiap petang selepas sesi persekolahan saya bersama rakan-rakan akan belajar secara berkumpulan mengulang kaji pelajaran yang telah diajar guru sehingga pukul 6 petang.

“Jadual makan malam saya seawal pukul 7.30 malam dan saya akan mula belajar selepas waktu Isyak sekitar pukul 8.45 malam sehingga 1.00 pagi. Selain itu, fokus semasa guru mengajar amat penting supaya apa yang disampaikan dapat difahami dengan jelas,” jelasnya.

Puteri kepada Abu Hashim Othman, seorang pesara tentera dan Faridah Md Siron, seorang suri rumah tangga ini bercita-cita untuk menyambung pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia dalam jurusan Sarjana Muda Sumber Manusia.

Cikgu Jumali

Guru Penolong Penyelaras Penyediaan Pra Universiti (PPU), Jumali Rasikun.

Sementara itu, Guru Penolong Penyelaras Penyediaan Pra Universiti (PPU), Jumali Rasikun, berkata pengorbanan dan kerjasama semua pihak perlu bagi melahirkan pelajar cemerlang.

“Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang bukanlah satu perkara mudah, semua pihak harus berkorban, sama ada ibu bapa, guru-guru, sekolah dan bantuan agensi kerajaan,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Seri Tanjong, pagi tadi.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Penerangan Negeri Melaka, Lim Ann Teck.

Penyampaian hadiah

Pengarah Penerangan Negeri Melaka, Lim Ann Teck (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Nurul Izzani Abu Hashim yang merupakan antara pelajar cemerlang STPM Negeri Melaka 2016.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada pelajar-pelajar antaranya bantuan persekolahan RM100 setiap pelajar menerusi Bajet 2017 yang meliputi sebanyak 3.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah selain pemberian Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM200 kepada setiap pelajar institut pengajian tinggi.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan kemudahan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dalam usaha membantu pelajar-pelajar anak jati Melaka untuk menyambung pelajaran mereka. Tawaran biasiswa juga diberi kepada yang layak maka pelajar-pelajar harus belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya.

Pelajar SMK Seri Tanjong yang hadir dalam majlis anugerah kecemerlangan Akademik STPM dan SPM

Pelajar SMK Seri Tanjong yang hadir dalam majlis anugerah kecemerlangan Akademik STPM dan SPM.

“Kemudahan internet percuma untuk belajar turut disediakan oleh kerajaan dengan penubuhan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“PI1M memberi kemudahan dalam membantu pelajar mencari maklumat, namun, pengunaan internet ini harus secara berhemah dan tidak disalah guna bagi menabur fitnah dan kebencian,” jelas Lim.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda