Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaSabahWilayah Persekutuan

Malim Gunung Ikon Negaraku Sabah

By 8 Mei 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan dan foto: Fauzrina Hj Bulka (Sabah)

SANDAKAN, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Hampir dua tahun telah berlalu sejak kejadian gempa di Gunung Kinabalu yang berjaya membuka mata rakyat Malaysia akan kewujudan Malim Gunung yang menjadi hero membantu banyak nyawa.

Peristiwa yang mengorbankan lebih 18 nyawa itu tetap menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bukan sahaja kepada 105 orang pendaki yang terkandas, tetapi 27 orang malim gunung yang berusaha menyelamatkan mereka.

Mengetuai operasi menyelamat pendaki yang terkandas, Nuhairi Kintai, 32, menceritakan semula saat-saat cemas ketika gempa 5.9 magnitud itu berlaku kepada Malaysia Aktif.

IMG_0894

Gunung Kinabalu

“Sewaktu hari kejadian, sekitar 7.00 pagi saya memang berada di puncak bersama empat orang pendaki dari Singapura. Kemudian dalam perjalanan turun, di kilometer lapan kami berhenti rehat kerana biasanya pendaki akan merakamkan gambar di situ kerana pemandangan yang cantik.

Katanya, ketika sedang berehat sekitar 7.15 pagi, dia mendengar bunyi desiran pasir serta disusuli bunyi patah dan ketika menoleh dia melihat puncak gunung rebah dan jatuh ke bawah diikuti dengan gegaran.

“Ketika gegaran berlaku, kami merasa seolah-olah keadaan berombak dan batu-batu turut berjatuhan. Saya segera menahan beberapa orang pendaki yang ingin meneruskan pendakian agar berpatah turun,” katanya.

Nuhairi yang berasal dari Kundasang berkata ketika itu dia bingung dan hanya menyedari berlakunya gempa selepas 20 minit merasa gegaran dan ketika itulah baru timbul perasaan takut.

“Perkara pertama yang saya ingat sememangnya keluarga, walaupun di puncak kita masih boleh mendapat isyarat talian telefon, tetapi beberapa minit selepas gegaran berlaku, isyarat talian terganggu dan saya terus berusaha untuk menghubungi keluarga dan isteri,” katanya yang baru sahaja dua bulan bernikah ketika kejadian itu berlaku.

Nuhairi bersama 26 malim gunung yang lain kemudian segera mengumpul semua pendaki yang terkandas serta berbincang keputusan yang terbaik untuk menyelamatkan semua nyawa.

Apa yang lebih menyukarkan keadaan, dalam dua daripada 105 pendaki yang ingin diselamatkan ialah Orang Kelainan Upaya (OKU) yang jika tertekan, mereka mengalami sawan.

27 orang malim tersebut segera mengambil risiko dan mencapai kata putus untuk membawa semua pendaki tersebut turun dengan strategi seorang malim akan menjaga lima atau enam pendaki di sepanjang laluan turun.

“500m sebelum sampai ke Laban Rata, kumpulan kami bertembung dengan rakan-rakan malim yang naik ke atas untuk memberi bantuan dan membawa makanan untuk kami.

“Mujur pendaki terakhir yang merupakan OKU tiba di Rumah Tamu Laban Rata sekitar 8.00 malam kerana satu jam kemudian, gegaran kedua pula berlaku dan lebih banyak batu yang berjatuhan.

“Namun begitu, mereka selamat tiba di gerbang Timpohon lewat 3.00 pagi hari berikutnya,” ujarnya ketika ditemui semasa Program Ekspresi Negaraku di Padang Bandar Sandakan, semalam.

Anggota MOSAR

Operasi menyelamat yang dilakukan oleh MOSAR di Gunung Kinabalu. Foto: Nuhairi Kintai.

Berikutan peristiwa tersebut, pihak bomba telah membuat temu duga terbuka untuk semua malim gunung dan mereka diserap menjadi anggota Mountain Search and Rescue (MOSAR).

“Jika diikutkan, saya masih trauma dengan pengalaman yang saya lalui, lebih-lebih lagi melihat banyak jiwa yang terkorban dalam perjalanan turun ke bawah tetapi saya mengambil peluang yang diberi oleh pihak bomba agar dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Dengan elaun tetap yang diperoleh melalui MOSAR dapat juga menampung perbelanjaan saya dan isteri serta anak yang baru sahaja berusia empat minggu di dalam kandungan ketika itu,” jelasnya.

Menurut Nuhairi, selepas menjadi anggota MOSAR, semua malim turut diberikan latihan yang sama seperti anggota bomba yang banyak membantu malim yang sebelum ini hanya mengetahui perkara asas melakukan pemulihan pernafasan CPR sahaja.

“Sepanjang menjadi MOSAR, pada tahun lepas kami berhadapan sebanyak 48 kes, termasuk terseliuh, Acute Mountain Sickness serta dua kes kematian manakala untuk tahun ini sehingga April kira-kira 20 kes yang kami terima,” katanya yang merupakan Ikon Negaraku Sabah.

Nuhairi (kanan) dan anggota MORAS yang lain gigih membantu seorang pendaki yang terseliuh.

Nuhairi (kanan) dan anggota MOSAR yang lain gigih membantu seorang pendaki yang terseliuh.

Ikon Negaraku Sabah merupakan gelaran yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri kepada hero yang telah berjasa kepada negeri masing-masing dan diberikan slot untuk berkongsi pengalaman mereka dalam Program Ekspresi Negaraku sebagai inspirasi kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, menurut Nuhairi sebagai ikon dia ingin menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira bangsa mahupun agama dan mengambil pengajaran daripada pengalaman yang telah dilaluinya.

“Kalau dilihat semula, jika kami 27 orang malim gunung tidak bersatu hati untuk menyelesaikan masalah dan mengambil risiko, mana mungkin jumlah kami dapat menyelamatkan 105 nyawa pendaki yang terkandas bersama-sama kami.

“Apa yang penting kita perlu sentiasa bertolenrasi dan menghormati sesama kaum, secara automatik kita akan bersatu. Bila kita bersatu semua akan dapat di capai,” katanya.

Tambahnya, di sebalik peristiwa gempa itu juga, dapat dilihat betapa rakyat Malaysia sememangnya bersatu hati. Ramai yang mengambil peluang memberi sumbangan kepada malim gunung yang terputus mata pencarian akibat trek yang rosak selepas gempa.

“Bukan hanya kami, tetapi penjaja dan peniaga di sekitar Kundasang turut menerima tempias apabila barang perniagaan tidak terjual kerana kurangnya pengunjung kerana takut untuk datang ke sana.

“Sayur-sayuran juga banyak yang rosak tidak terjual namun peniaga ini turut menerima sumbangan daripada rakyat Malaysia dan kerana itulah saya mewakili warga Kundasang yang terkesan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyumbang,” ujarnya.

Tambahnya, jika semangat tersebut dikekalkan dalam jiwa rakyat Malaysia setiap hari, tidak mustahil Malaysia akan menjadi negara yang paling makmur di dunia.

SF

Tinggalkan komen anda