Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Perangkap Nyamuk Solar Sekat Penularan Demam Denggi

By 8 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Mohamad Zairin Mohamad Zin (Shah Alam)

BANTING, 8 Mei (Malaysiaaktif) – “Kita telah mula memasang perangkap nyamuk solar dan cubaan pertama ini telah dipasang di Mentari Court, Kelana Jaya pada minggu lepas dan jika ianya berkesan, saya rancang untuk kita pasang di setiap kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan juga kawasan-kawasan perumahan kos rendah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata demikian ketika sidang media selepas sesi ‘townhall’ pemimpin bersama rakyat pada Himpunan KRT Negeri Selangor 2017 bertempat di Dewan Komersial AIM Point, di sini, pada Sabtu.

“Ini untuk mengelakkan nyamuk aedes daripada terus berkembang. Alat ini boleh perangkap semua serangga termasuk nyamuk aedes. Kalau ikut perancangan, banyak yang kita hendak pasang dan kita akan dapatkan satu bajet khas,” ujarnya.

Jelasnya, harga untuk satu perangkap nyamuk solar ini ialah RM 5,000 bagi yang bersaiz besar dan RM 3,000 bagi yang bersaiz kecil.

“Kita akan pasang secara berperingkat dan dalam perancangan, akan dibuat untuk yang seterusnya, dalam tahun ini juga bergantung kepada bajet kita. Saya akan duduk dengan Jabatan Perumahan Negara (untuk membincangkan hal ini).

“Pertamanya, kita kena beri keutamaan pada kawasan PPR, kedua pada kawasan kos rendah dan yang ketiga adalah di tempat-tempat yang mempunyai laporan aedes yang banyak dan KPKT sendiri akan memantau sistem ini melalui Jabatan Perumahan Negara,” jelas Noh.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan berkaitan banyak pokok yang tumbang kebelakangan ini di kawasan ini, Noh menyatakan bahawa pengurusan pokok di kawasan bandar adalah di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

“Kerajaan tempatan perlu membuat semakan atau pemeriksaan berkala terhadap pokok-pokok yang besar, tambahan pula sekarang ini musim hujan, supaya jangan sampai boleh mendatangkan kebimbangan kepada rakyat. Walaupun niat asalnya baik iaitu untuk menghijaukan kawasan tetapi kalau tidak dibuat pemeriksaan, ia boleh menimbulkan bahaya kepada rakyat.

“Kita sudah berikan garis panduan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pokok mana yang boleh dan pokok mana yang tidak boleh ditanam dan juga cara penjagaannya. Selepas itu terpulang pada PBT tetapi jika PBT tidak menguatkuasakan garis panduan ini, kami tiada kuasa untuk mengambil tindakan,” tambah Noh lagi.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda