Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pelajar Politeknik, Kolej Komuniti Puas Bina Rumah Polikom

By 29 Mei 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Siti Mariam Aziz Rashid / Foto: Ersugandi Marsuki (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Mei (Malaysiaktif) – Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan bagi menggambarkan perasaan puas apabila berdiri di hadapan rumah komuniti yang berjaya dibina dengan hasil titik peluh sendiri.

Pelajar, Ivy Claver Blace, 20 dan Elfye Fefnye Victor, 21 merupakan antara 50 pelajar dan tujuh pensyarah Politeknik Kota Kinabalu yang terlibat dalam pembinaan rumah Polikom di Kampung Batu Payung dan Kampung Batu 22, Balung, Tawau pada Sabtu.

Ivy dan Elfye memasang cermin tingkap sebagai tugasan terakhir menyiapkan rumah tersebut

Ivy dan Elfye memasang cermin tingkap sebagai tugasan terakhir menyiapkan rumah tersebut

Ivy Claver Blace berkata mereka masih tidak percaya bahawa mereka mampu membantu membina sebuah rumah daripada kosong sehinggalah siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada penerima yang layak.

“Segala apa yang telah dipelajari dalam bentuk teori, dapat kami aplikasikan secara amali dan membantu kami untuk lebih faham lagi konsep-konsep yang telah diajar dalam kelas”, jelasnya.

Kedua-dua pelajar Kejuruteraan Awam tersebut dipilih bersama pelajar bidang kejuruteraan awam dan mekanikal, untuk menyertai program sukarelawan selama sebulan yang bermula pada 18 April 2017 lalu.

Rumah yang dibina Ivy dan Elfye adalah antara lima buah rumah yang dibina khusus untuk Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rumah Polikom Kawasan Parlimen Tawau, dengan Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sandakan dan Kolej Komuniti Sabah.

Rumah berkeluasan 600 kaki persegi yang melibatkan kos serendah RM25 ribu dan dilengkapi tiga bilik tidur, sebuah bilik air, dapur dan ruang tamu.

Manakala, pelajar Mohd. Syafiq Al-Ashraff Abd. Fattah berkata pengalaman kali kedua terlibat dalam pembinaan rumah ini pastinya banyak memberi keyakinan dan ujian kemampuan sepenuhnya kerana pembinaan kali ini terpaksa disiapkan oleh mereka sendiri.

“Pengalaman tahun lalu membina rumah polyhome banyak beri pengalaman dan pengetahuan berharga serta banyak memberi kefahaman kepada kami tentang kerja pembinaan sebenar.

Jelasnya lagi, semasa pembinaan rumah pertama, kami banyak dibantu oleh tukang yang dipilih, dan kami hanya membantu kerja-kerja sampingan sahaja.

“Kali ini pembinaan rumah ialah 100 peratus dilaksanakan oleh kami sendiri, dengan panduan dan bantuan daripada pensyarah-pensyarah kami.

“Latihan amali seperti ini amat berkesan sekali bagi kami dan bersyukur kerana berpeluang mendapat pendidikan dan pengalaman seperti ini di Politeknik Kota Kinabalu,” kata Mohd. Syafiq.

Rumah Hasnah

Rumah Hasnah

Program cetusan idea Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti agar dapat direalisasikan.

Antaranya adalah untuk membantu membina rumah kediaman penduduk yang tergolong dalam golongan miskin setelah dikenal pasti oleh Jawatankuasa Khas Pejabat Parlimen.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman berkata ilmu dan kepakaran pensyarah terlibat dicurahkan dalam memberi latihan di tapak yang sebenar kepada para pelajar dalam membina rumah Polikom.

‘Para pelajar diajar secara amali dalam pembinaan rumah, dan mereka juga diuji oleh pihak CIDB iaitu sebuah badan profesional industri pembinaan di Malaysia, bagi mendapatkan Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) Tahap 1 dalam beberapa kemahiran pembinaan seperti melepa dan mengecat’, katanya.

Menurutnya lagi, SKK yang diperoleh dapat membantu dan memberi nilai tambah kepada para pelajar selepas tamat pengajian nanti dalam merebut peluang pekerjaan.

“Terima kasih juga kepada tujuh pensyarah Politeknik Sabah yang terlibat secara langsung dalam program ini iaitu Hazriesyam Amir Mustapha, Shahriman Che Rodi, Roslee Ghani, Chung Yin Kiong dan Saffuan Awang Bahrin serta Nasrudin Sairi dan Mohd Baharuddin Zubir daripada Politeknik Sandakan yang berkorban masa dan tenaga membantu program ini,” tambah Zainab ketika menyaksikan penyerahan kunci di kampung tersebut pada Sabtu.

Dengan gabungan strategi lautan biru (NBOS), pembinaan rumah tersebut berjalan lancar menggunakan kepakaran dan kemahiran pensyarah serta pelajar dari Politeknik dan Kolej Komuniti.

Pensyarah Hazriesham Amir berkata program sukarelawan sebegini harus diteruskan agar para pelajar dan pensyarah dapat merasai pengalaman sendiri dalam kerja-kerja berkaitan dengan bidang yang diceburi.

“Pembelajaran secara teori sahaja tidak dapat memberikan gambaran yang sebenar walaupun peringkat pembelajaran yang diambil adalah di peringkat sarjana atau phd.

“Pengalaman sewaktu membina rumah tersebut sedikit sebanyak membantu para pelajar dan pensyarah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan keyakinan diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, ibu tunggal, Hasnah Junaidi, 64, penerima kunci rumah Polikom Kampung Batu Payung, Tawau, berkata syukur sambutan hari raya tahun ini penuh makna dan kegembiraan buat mereka lima beranak.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan pihak Politeknik dan Kolej Komuniti serta semua yang terlibat, atas bantuan yang diberikan membina rumah untuk kami sekeluarga termasuk seorang anak kurang upaya.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan kerana golongan seperti kami memang amat memerlukan bantuan agar dapat menikmati kehidupan lebih sempurna di kediaman milik sendiri.

Mary Yap (dua dari kanan) semasa menyerahkan kunci rumah kepada Hasnah (tiga dari kiri).

Mary Yap (dua dari kanan) semasa menyerahkan kunci rumah kepada Hasnah (tiga dari kiri).

Hasnah berkata demikian apabila menerima kunci rumah miliknya daripada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching di kampung berkenaan.

Sebanyak tujuh buah rumah komuniti telah dibina oleh pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti Sabah menerusi program CSR Rumah Polikom Kawasan Parlimen Tawau.

Upacara penyerahan rumah Polikom dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat oleh Mary Yap dalam masa terdekat setelah rumah tersebut mendapat kelulusan menduduki.

-SF

Tinggalkan komen anda