
Gambar utama: Laman e-Rezeki
Laporan dan foto oleh: M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Bagi menggalakkan penjanaan pendapatan sampingan melalui digital untuk masyarakat berpendapatan rendah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama menyediakan kemudahan e-Rezeki kepada masyarakat yang berminat menambah pendapatan melalui kaedah digital.
Menurut pengurus Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bukit Bayan, Kampung Bukit Katil, Natasha Kamaruzzaman, 37, program e-Rezeki memberi saluran alternatif kepada rakyat Malaysia dari golongan belia sehingga golongan warga emas untuk menambah pendapatan sampingan melalui saluran digital.
“Setiap iklan yang dimasukkan dalam ‘Facebook’ kemudian dikongsi atau di-‘like’ oleh rakan akan diberi 20 sen sebagai ganjaran. Mereka yang berminat harus mengikuti sesi taklimat dan pendaftaran.
“Di Melaka, terdapat 12 Mini RTC yang menjalankan taklimat dan pendaftaran untuk program khas e-Rezeki. Mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 dan berumur 18 tahun ke atas layak mengikuti program ini,” jelasnya.
Tambahnya, ini merupakan tanggungjawab besar yang diberi kepada Mini RTC untuk memberi taklimat berkaitan program e-Rezeki kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Pengurus Mini RTC Paya Ikan, Bukit Baru, Nadia Kamaruzzaman, 33, berkata rangkaian syarikat rakan strategik antarabangsa dan tempatan e-Rezeki sangat komited terhadap kejayaan program ini, antaranya, Designhill, Freelancer International Pty. Limited, AfterFiv Global, dan Addeen Online Sdn. Bhd.
“Terdapat rakan-rakan syarikat antarabangsa dan tempatan dan kepada mereka yang berminat boleh juga melayari laman sesawang MDEC e-Rezeki atau terus ke seluruh Mini RTC yang beroperasi di Melaka bagi yang tinggal di Melaka.
“Bulan Mei ini sahaja, Mini RTC Paya Ikan telah mengadakan dua sesi taklimat e-Rezeki dan mendapat maklum balas yang positif daripada belia-belia yang cuma menambah pendapatan melalui ‘Facebook’,” jelas Nadia.
Sementara itu, seorang peserta e-Rezeki yang ditemui, Nor Emeylia Hamzah, 27, seorang suri rumah berkata sistem e-Rezeki ini amat mudah tetapi memerlukan pemahaman menyeluruh sebelum memulakannya.
“Saya amat teruja apabila diperkenalkan dengan program menjana pendapatan melalui e-Rezeki ini. Ia amat mudah namun perlu pemahaman dalam melaksanakan sistem e-Rezeki, kita hanya berkongsi maklumat dari syarikat rakan strategik dalam ‘Facebook’ dan tunggu hasilnya.
“Sebagai seorang isteri, saya harus membantu suami saya yang bekerja sebagai pemandu lori untuk menambah pendapatan sampingan. e-Rezeki ini permulaan untuk saya menjana pendapatan dari rumah dan tidak perlu keluar bekerja. Sambil melaksanakan tugas-tugas seorang isteri pun saya masih mampu untuk membantu suami,” ujarnya gembira.
e-Rezeki merupakan antara inisiatif kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat khususnya untuk mereka di dalam kategori Bawah-40 (B40). B40 ialah mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 sebulan.
Mula diperkenalkan pada Jun 2015, e-Rezeki terbukti membantu rakyat di Malaysia. Sehingga Disember 2016, program ini berjaya menjana RM1.7juta pendapatan tambahan untuk lebih 50,000 peserta e-Rezeki.
-DZ