
Oleh Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Fauzrina Hj Bulka (Sabah)
SANDAKAN, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini mengumumkan pengecualian dasar kabotaj aktiviti perkapalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula 1 Jun ini.
“Berhubung dengan kabotaj polisi kita, orang Sabah kata jangan pakai lagi dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan WP Labuan. Saya nak beritahu bahawa atas cadangan daripada kerajaan negeri Sabah dan Barisan Nasional Sabah, maka mulai 1 Jun ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan kargo.
“Maknanya, dari mana-mana pelabuhan di Semenanjung Malaysia ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan dan sebaliknya, di antara pelabuhan di dalam negeri Sabah dan di antara pelabuhan di dalam negeri Sarawak.
“Walau bagaimanapun, pengecualian ini tidak terpakai kepada kapal-kapal yang beroperasi di antara negeri Sabah, Sarawak dan WP Labuan. Jadi, maknanya tiada lagilah apa-apa yang boleh menyebabkan harga barang naik di negeri Sabah ini. Kita kecualikan penguatkuasaan dasar kabotaj ini,” ujar Najib ketika berucap di majlis perasmian Ekspresi Negaraku di Padang Bandaran Sandakan, pagi tadi.
Pengecualian dasar kabotaj yang sebelum ini dikatakan merupakan punca kenaikan harga barang di Sabah disambut dengan sorakan pengunjung program tersebut.
Dalam pada itu, Najib turut komited tentang janjinya untuk menambahkan bilangan rakyat Sabah dalam perkhidmatan awam persekutuan di negeri ini.
“Kalau dulu, saya umumkan dalam lingkungan 72 peratus orang Sabah sebagai guru, kini sudah naik ke 80 peratus lebih guru Sabah. Kini, kami akan naikkan kepada 90% dalam masa tiga tahun akan datang. Beri peluang lagi kepada orang sabah untuk menjadi guru.
“Begitu juga dengan doktor. Sudah sampai 40 peratus sekarang ini, doktor orang Sabah, jadi kita beri peluang lebih lagi dalam perkhidmatan awam kepada orang-orang Sabah,” ujarnya lagi.
Selain itu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dia akan menunaikan janjinya pada 3 Mac lalu kepada rakyat Sandakan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan dengan peruntukan sebanyak RM80juta.

Perdana Menteri dengan beberapa menteri kabinet persekutuan dan negeri di program Ekspresi Negaraku di Sandakan. / Gambar: Mastim Kiriman
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan beberapa menteri kabinet persekutuan dan negeri.