Skip to main content
Berita TempatanSabah

RBN Buka Peluang Belia Miliki Rumah Idaman

By 7 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto: Wenny Di Tian Soh (Sabah)

KENINGAU, 7 Mei (Malaysiaktif) – Belia berpendapatan rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri Sook, Keningau berpeluang memiliki rumah idaman dengan terlaksananya Program Rumah Bina Negara (RBN) di kawasan terbabit.

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bakal membangunkan perumahan mampu milik kepada golongan belia di kawasan luar bandar khusus generasi kedua peserta tanah-tanah rancangan terbabit.

Menurut pnduduk selaku Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sook, Ramian Ayub, 39, taklimat pelaksanaan projek tersebut oleh RISDA dan FELCRA di daerah ini banyak memberi gambaran jelas tentang kebaikan pelaksanaan projek tersebut.

“Pembinaan rumah mampu milik melalui program RBN ini merupakan suatu langkah tepat kerajaan membawa kemajuan dan perubahan kepada golongan belia di kawasan pedalaman ini.

“Projek ini bukan setakat dapat memberi kemudahan tempat tinggal kepada golongan belia yang berpendapatan rendah malah turut memberi peluang pekerjaan kepada generasi ini.

Antara belia yang hadir

Antara belia yang hadir

Katanya, situasi hari ini yang memperlihatkan kesukaran golongan terbabit memiliki rumah semakin ketara berikutan peningkatan kos harga rumah yang semakin meningkat ditambah belia yang sukar mendapat pekerjaan tetap seperti di pedalaman.

“Taklimat yang disampaikan jelas pelaksanaan projek ini akan memberi impak positif dan peningkatan ekonomi penduduk lebih kukuh dan pelaksanaannya membolehkan belia semakin yakin meneruskan kehidupan selepas ini.

Harapannya, agar kerajaan dapat memberi kelonggaran terhadap pemilikan rumah tersebut terutama kepada penduduk di luar kawasan bandar ini.

Ramian turut memuji dan berterima kasih kepada Tan Sri Joseph Kurup yang sentiasa berusaha membawa kemajuan dalam mempertingkatkan ekonomi penduduk di kawasan pedalaman ini.

Sementara itu, penduduk yang juga seorang kakitangan kemajuan masyarakat Sook, Abdul Kunin Saili, 58, turut menyuarakan rasa syukur atas perancangan memajukan kawasan tersebut yang pasti memberi banyak kelebihan kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Belia seharusnya merebut peluang ini untuk mempertingkat ekonomi diri dan keluarga selain berusaha meningkatkan ilmu untuk menjamin peluang pekerjaan di daerah ini.

Ujarnya, ketidakmampuan belia memiliki rumah dilihat semakin serius tapi dengan adanya projek ini belia tidak perlu bimbang lagi kerana selagi berusaha merebut peluang pelbagai kemudahan bakal di nikmati.

Joseph Kurup ketika menyampaikan ucapan pada majlis taklimat tersebut.

Joseph Kurup ketika menyampaikan ucapan pada majlis taklimat tersebut.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Joseph Kurup berkata Program RBN ini merupakan program perumahan mampu milik kepada golongan belia di kawasan luar bandar.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap permasalahan rakyat khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar Bandar dan menitikberatkan hal-hal berkaitan keperluan penduduk seperti perumahan dan peluang pekerjaan.

“Selain itu, pelaksanaan RBN ini secara langsung dapat mengelakkan pengaliran tenaga kerja produktif dan kepakaran golongan belia ke bandar.

Katanya, bagi memastikan belia di pedalaman serta generasi kedua dapat meneruskan agenda transformasi pembangunan luar bandar tanpa perlu berhijrah ke pusat bandar.

Tambahnya, melalui pelaksanaan program ini nanti diharap dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah menikmati kesejahteraan hidup yang lebih bermakna dan berguna serta membantu masyarakat khususnya di Sook memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Rumah Bina Negara (RBN) RISDA dan FELCRA di Dewan Masyarakat Pekan Sook pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan turut diadakan dua sesi taklimat oleh FELCRA Berhad dan RISDA sebagai usaha memperjelaskan pelaksanaan RBN di daerah tersebut serta peluang yang bakal dinikmati penduduk.

 

-SF

Tinggalkan komen anda