Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

PPZ- MAIWP Tawar Perkhidmatan Istimewa Sempena Ramadan

By 29 Mei 2017Jun 1st, 2017Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan / Foto oleh Ahmad Suhaimi Mokhtar & Halim Aman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Malaysiaaktif) – “Sebanyak 11 kaunter zakat akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum di Wilayah Persekutuan bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka sepanjang Ramadan ini”.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Rais Haji Alias berkata demikian pada sidang media pengumuman perkhidmatan PPZ-MAIWP, di sini hari ini.

“Pada tahun 2016 sebanyak 167,000 pembayar zakat telah menunaikan tanggungjawab mereka dan pihak PPZ berharap pada tahun ini angka tersebut akan bertambah mencecah ke 170,000,” katanya.

Menurut Mohd Rais, para pengguna boleh menyertai ‘kempen berzakat dihujung jari’ dan membuat pembayaran zakat secara dalam talian melalui portal PPZ-MAIWP yang boleh dilayari di www.zakat.com.my.

“Sebuah buku nukilan Sahibus Samahah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk ‘Ramadan Menyinari Harta dan Jiwa’ akan diberikan secara percuma kepada 10,000 pembayar zakat terawal,” katanya lagi.

Tambahnya, para pengguna juga berpeluang memenangi 20 baucer tunai barangan elektrik bernilai RM250 setiap satu.

“Selain itu juga, CIMB bank turut serta dalam kempen ini menerusi perkhidmatannya iaitu ‘Berzakat Menerusi CIMB clicks’ bermula dari 27 Mei hingga 25 Julai 2017.

“Bagi 14 penyertaan yang bertuah akan berpeluang memenangi hadiah wang tunai bernilai RM10,000 tajaan CIMB Islamik Bank. Pengguna hanya perlu melayari laman sesawang www.cimbclicks.com untuk menyertainya,” jelasnya.

Mohd. Rais menunjukkan buku karya Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertajuk 'Ramadan Menyinari Harta dan Jiwa'

Mohd. Rais menjelaskan antara keistimewaan yang diberikan oleh PPZ sepanjang Ramadan

Menurut Mohd Rais, PPZ juga menyediakan 10 lokasi tetap kaunter bergerak PPZ-MAIWP bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat sama seperti yang disediakan di kaunter-kaunter PPZ.

Katanya, PPZ bertanggungjawab dalam mengutip dan mengagihkan zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“PPZ tidak hanya tertumpu kepada kutipan zakat sahaja, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai pengiraan zakat secara manual, menyemak rekod zakat, mendapatkan borang pungutan zakat selain maklumat bayaran zakat secara tunai, cek, kad debit bank dan kredit perbankan Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, keistimewaan lain yang turut diumumkan ialah Perkhidmatan Pusat Panggilan dan Info Addeen – Dakwah zakat secara santai yang boleh didapati melalui laman facebook PPZ-MAIWP di www.facebook.com/myzakat atau layari youtube.com/PPZTV.

 

– AH

Tinggalkan komen anda