Skip to main content
Berita TempatanSabah

Hadiah Raya Ceriakan Keluarga Madjan

By 30 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto: Abdul Aziz Ghani (Sabah)

KUNAK, 30 Mei (Malaysiaktif) – Hari ini 4 Ramadan, namun keceriaan menyambut syawal buat keluarga Madjan Panglima Ara@ Monsung sudah jelas terbayang apabila menerima hadiah raya berbentuk sebuah rumah.

Penerima Madjan, 63, bersyukur atas rezeki yang diberikan kepada keluarganya. Sesungguhnya sambutan raya tahun ini merupakan suatu yang cukup bermakna buat dirinya.

“Permohonan mendapatkan bantuan rumah ini telah lama saya pohon dan apabila dimaklumkan permohonan tersebut diluluskan terbuku di hati berharap agar rumah tersebut dapat disiapkan sebelum hari raya.

Demikian kata Madjan semasa ditemui ketika Majlis Penyampaian Kunci Rumah di kediamannya di Kampung Hampilan pada Sabtu.

Jelasnya, sebelum ini rumah asal yang diduduki lima beranak ini agak uzur dan tidak mampu dibaiki disebabkan usia dan juga pendapatan.

Madjan yang dikategorikan sebagai miskin tegar ini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berkerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM 450 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Hampilan, Lim Mat Lam ketika ditemui berkata akhirnya maltamat menyiapkan rumah ini berjaya dilaksanakan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menyiapkan rumah ini secara bergotong-royong bersama penduduk kampung dan juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Nilwan Kabang sendiri.

Tambahnya, pembinaan rumah tersebut menggunakan kos sebanyak RM32 000 dengan kemudahan dua buah bilik tidur, dapur, ruang tamu dan tandas.

“Permulaannya rasa terkejut dengan kos yang dinyatakan tetapi apabila dilaksanakan secara bergotong- royong maka sesuatu yang mustahil sebenarnya mampu untuk dilaksanakan dengan jayanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nilwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 51 Kunak, turut meluahkan rasa syukur kerana dapat menyiapkan rumah sebelum Ramadan ini.

“Bantuan ini sebagai sebahagian daripada usaha dan keprihatinan kerajaan membantu masyarakat luar bandar untuk memiliki sebuah rumah idaman.

“Apa yang lebih menariknya ialah penyediaan rumah kos rendah ini dilaksanakan secara bergotong-royong selama tiga bulan sehingga pada hari ini disahkan siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pemiliknya,” jelasnya.

Tambahnya, selaku wakil rakyat di kawasan ini saya akan sentiasa mengenal pasti setiap permasalahan penduduk dan berusaha memberi bantuan sewajarnya agar rakyat yang kurang bernasib baik akan dapat terus dibantu.

“Rasa terharu dengan reaksi hari ini pada majlis penyerahan kunci ini walaupun ringkas dan sederhana tetapi memberi banyak perasaan sayu serta penuh nikmat kesyukuran disebabkan masyarakat akan menyambut Ramadan dan seterusnya menanti Syawal yang bakal tiba nanti.

Katanya, semoga pemberian rumah ini akan memberi sinar bahagia kepada keluarga Madjan dalam menyambut Ramadan dan hari raya nanti.

Dalam program berasingan Nilwan turut menyampaikan bantuan berupa kerusi roda kepada tiga penerima di Kampung Cocos.

Bantuan disampaikan oleh isteri Nilwan selaku Penaung Persatuan Muallaf Daerah terbabit iaitu Datin Amani Tamsin Abdullah.

Bagi penerima Latifah Molip, yang mengalami luka di kaki akibat komplikasi kencing manis berkata pemberian bantuan tersebut banyak memberi keselesaan kepada dirinya.

“Pemberian ini banyak memberi kemudahan kepada saya terutama dalam pergerakan seharian berbanding sebelum ini, “ ujarnya.

Kenyataan tersebut turut diakui oleh Donglas Biakeney yang mengalami sakit strok kaki dan tangan yang meluahkan rasa syukur akan pemberian tersebut yang membolehkannya bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Menurut Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Cocos, Januari Lasanan semasa ditemui pada jelajah bantuan di kampung tersebut pemberian ini merupakan bantuan khusus dari Pejabat Pembangunan Masyarakat di daerah ini sebagai meringankan beban masyarakat susah.

“Selaku pemimpin di peringkat akar umbi, saya akan terus membantu kerajaan menyalurkan maklumat terutama terhadap penduduk yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda