
Laporan / Foto : Mahdini Jaini (Miri)
MIRI, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Kemeriahan Regatta Subis 2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 sehingga 30 April lalu di Tebingan Sungcai Sibuti, Bekenu, Miri baru-baru ini bukan sahaja telah berjaya menggamit ribuan pengunjung dari dalam negeri dan negara jiran iaitu Brunei Darussalam untuk turut sama berpesta namun ianya juga telah merancakkan kegiatan ekonomi dan sumber pendapatan penduduk setempat di sini.
Antara tarikan utama selain pertandingan perlumbaan bot adalah tapak gerai jualan di Subis Kitchen kerana sepanjang regatta berlangsung, orang ramai tidak putus-putus memenuhi ruangan tapak tersebut untuk membeli makanan dan minuman yang dijual serta produk-produk perniagaan yang dijual oleh para peniaga di situ.
Salah satu produk makanan unik yang dijual di Subis Kitchen ini adalah sejenis pastri buatan sendiri digelar ‘Madeleines’ yang dijual di gerai Thibaut Doyen atau lebih dikenali sebagai Mohamad Qaliph Abdullah, 27 dan Hashimah Kedri, 33.
‘Madeleines’ atau bahulu Perancis ini memiliki rasa yang hampir sama dengan rasa bahulu tempatan namun teksturnya lebih padat dan lembut dan sangat enak dinikmati dengan hidangan kopi.
“Saya dan isteri mula belajar membuat kek dan pastri Perancis daripada ibu saya semasa menetap di sana dan apabila telah yakin dengan pengalaman dalam pembuatan pastri baharulah kami mengadakan jualan bahulu Perancis ini menerusi laman media sosial seperti Facebook dan Instagram ‘lovely&harmony gourmandizes’.
“Ketika memperoleh maklumat berkaitan pembukaan tapak Subis Kitchen di Regatta Subis tanpa berlengah kami berdua terus mengambil peluang membuka gerai untuk mempromosikan produk ini kerana ia merupakan makanan yang jarang ditemui oleh penduduk tempatan di sini”, kata Qaliph yang berasal daripada utara Perancis dan memiliki minat mendalam dalam seni pembuatan pastri Perancis.
Mereka berdua bersama ahli keluarga Hashimah telah membuka gerai jualan mereka seawal hari pertama regatta dan sambutan terhadap gerai mereka amat menggalakkan.
Hashimah berkata, penganjuran Regatta Subis ini adalah platform yang baik untuk memberi galakan kepada peniaga tempatan seperti beliau untuk meningkatkan sumber ekonomi keluarga.
“Selain memperoleh pengalaman pertama membuat jualan secara langsung di tapak gerai, saya juga dapat berkongsi pengalaman bergaul bersama masyarakat tempatan di Bekenu bersama suami yang belum pernah berkunjung ke Bekenu sebelum ini,” ujarnya lagi.
Perasmian Regatta Subis 2017 pada 28 April 2017 lalu di Tebingan Sungai Sibuti ini telah disempurnakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Ketua Menteri Sarawak.
Awang memuji usaha jawatankuasa penganjur iaitu Majlis Daerah Subis yang mengelolakan program sebegini kerana selain meningkatkan semangat tradisi sukan air, program ini juga mampu menyemai perpaduan dan kerjasama serta meningkatkan ekonomi masyarakat.
Awang turut mengumumkan sumbangan RM30 ribu kepada jawatankuasa penganjur sebagai tanda sokongan terhadap acara Regatta Subis di masa akan datang.
Penganjuran Regatta Subis juga merupakan langkah awal mempromosikan Pusat Pentadbiran Daerah Baru Subis selepas ianya dinaiktaraf daripada status daerah kecil sebagai daerah penuh pada tahun 2015.