Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tuah Jurufoto Bermalam Di Masjid

By 20 Mei 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan: Zamlan Ramle / Foto: Johnny George Kimlon (Sabah)

SIPITANG, 20 Mei (Malaysiaktif) – Dunia fotografi hari ini semakin diminati pelbagai lapisan masyarakat tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa kerana sekeping gambar mampu mengambarkan pelbagai cerita suka-duka pemiliknya.

Muhammad Faizan Kajul, 33, dari Kota Belud sanggup bermalam di sebuah masjid di daerah Sipitang hanya kerana terlalu minat pada dunia fotografi untuk merakam gambar menarik sepanjang Festival Antarabangsa GATA di daerah terbabit.

Katanya, minat pada dunia fotografi ini membawanya datang ke daerah terbabit yang jaraknya sejauh lebih 300 kilometer dan tidak menyangka sambutan festival tersebut amat meriah hingga terpaksa bermalam di sebuah masjid untuk beberapa hari.

“Mungkin sebab faktor hadiah pertandingan fotografi tersebut agak lumayan jadi saya kuatkan hati untuk datang ke daerah ini untuk mencuba tapi tidak meletakkan harapan disebabkan terlalu ramai individu yang memegang kamera canggih,” katanya yang kali pertama menyaksikan festival ini.

Muhammad Faizan Kajul bersama gambar kemenangannya.

Muhammad Faizan Kajul bersama gambar kemenangannya.

Faizan merupakan seorang jurufoto bebas yang mula berminat dengan dunia foto sejak zaman sekolah lagi.

“Mulanya ambil gambar ini sebagai suka-suka saja kemudian bertukar kepada hobi, lama-kelamaan hobi tersebut menjadi sebuah kerjaya kekal hingga membawa kepada pekerjaan untuk mencari sumber pendapatan seisi keluarga,” ujarnya.

Jelasnya, sebelum ini memang banyak menyertai pertandingan fotografi sekitar Kota Kinabalu dan alhamdulilah setiap kali menyertai sebarang pertandingan pasti tidak kering tangan ada saja gambar yang dihasilkan mendapat habuan kalau tidak johan dapat sagu hati pun memadai.

“Bagi pertandingan di daerah Sipitang ini, agak mencabar kerana masyarakat hari ini sudah tahu menilai erti sebuah gambar ditambah dengan peralatan canggih maka tidak meletakkan harapan tinggi,” katanya.

Namun, Faizan akhirnya tidak menyangka dia berjaya memenangi pertandingan tersebut dan menganggap kemenangan ini ialah rezeki keluarga khususnya kelahiran anak ketiga yang baru berusia dua bulan lebih dan tuah bermalam di masjid.

Dengan hadiah ini, Faizan berniat untuk menyempurnakan majlis kenduri aqiqah anaknya yang ketiga, Muhammad Ammar di kampung isterinya di daerah Tuaran.

“Saya tidak sangka foto yang dihasilkan berjaya memikat juri, sebab apabila saya bersama seorang rakan tiba di daerah ini, perasaan merasa sukar itu ada mungkin terlalu ramai jurugambar menyebabkan saya niatkan sahaja memenuhi keperluan hobi,” jelasnya.

Hasil gambar seorang kanak-kanak lelaki menebarkan gasing yang dirakam Faizan akhirnya dinobat sebagai johan pertandingan fotografi sempena Festival Antarabangsa GATA Sipitang 2017.

Faizan berjaya menewaskan seramai 41 peserta lain yang menyertai pertandingan tersebut anjuran Jabatan Penerangan bersempena festival tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Pertandingan Pegawai Penerangan Daerah, Awangku Shoffian Pg.Minggu berkata hasil seni, teknik dan mesej yang dirakamkan dalam foto tersebut dianggap bertepatan dengan tema yang diketengahkan.

“Gambar seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk sambil merenung gasing yang berjaya ditebar berputar atas gelanggang gasing sekali pandang seperti gambar biasa tapi keunikan foto ini tepat dan memenuhi tema mengetengahkan seni budaya dan permainan tradisi gasing sebagai elemen utama.

“Lebih menarik pada gambar tersebut tersirat nilai tinggi iaitu waris bangsa anak muda hari ini yang masih mempunyai bakat dan minat terhadap permainan warisan bangsa iaitu gasing,” kata Shoffian pada majlis penyampaian hadiah pemenang pertandingan fotografi tersebut.

Kejayaan ini membolehkan Faizan menerima wang tunai RM5000 berserta sebuah trofi dan sijil penyertaan daripada Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad semasa Majlis Kesyukuran Festival Antarabangsa Sipitang 2017 di Dewan Serbaguna Sipitang pada Selasa.

Naib juara dengan hadiah bernilai RM3000 dimenangi Rosley Abdul Hadi dan tempat ketiga dimenangi Yusnizam Awang Yusof membawa pulang RM2000 penerima sagu hati turut menerima wang tunai bernilai RM500 setiap seorang.

Festival turut dimeriahkan dengan Pertandingan Fotografi, Bercucul dan Tanglung tercantik.

SF 

Tinggalkan komen anda