Skip to main content
Berita TempatanHomePahang

Bubur Lambuk Pahang Ala Terengganu Satukan Komuniti Pekan

By 18 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Saiful Zalizan Yaacob / Foto: Ismael Idris (Pekan)

PEKAN, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Sepanjang mengharungi bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan suasana sebulan berpuasa selain ibadat-ibadat yang wajib seperti dituntut agama.

Salah satu acara wajib dan tidak asing lagi ialah aktiviti mengacau bubur lambuk oleh para penduduk kampung warga komuniti mahupun kariah masjid dan surau.

Komuniti 1Malaysia (K1M) Mukim Langgar 2 dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Pekan mengambil inisiatif menganjurkan gotong-royong mengacau bubur lambuk di pekarangan Surau Kampung Tanjung Medang Hulu pagi ini.

Proses merebus beras supaya kembang.

Proses merebus beras supaya kembang.

Program yang melibatkan ahli-ahli K1M serta JKKK Kampung Tanjung Medang Hulu, Kampung Tanjung Medang Hilir dan Kampung Pulau Keladi menyediakan sebanyak tiga periuk dengan jumlah sebanyak 500 bungkusan bubur lambuk Pahang Ala Terengganu untuk diagihkan kepada orang ramai.

Menurut Ketua Kampung Pulau Keladi, Jaafar Abdul Rani, 66, pogram yang diadakan ini bukan sekadar program gotong-royong semata-mata.

3. Jaafar Abdul Rani tengah bersama Zainurdin Ahmad (kiri) membasuh dan memotong keledek.

Jaafar Abdul Rani tengah bersama Zainurdin Ahmad (kiri) membasuh dan memotong keledek.

“Program ini menjadi medium serta pemangkin kepada penyatuan penduduk melalui kerjasama dan permuafakatan dalam usaha menjayakan aktiviti kemasyarakatan.

“Aktiviti berbentuk kemasyarakatan ini juga membawa penglibatan golongan belia melalui Majlis Belia Daerah Pekan supaya nilai-nilai murni melalui program sebegini dapat dihayati oleh mereka seterusnya membentuk jati diri yang dilihat semakin terhakis dalam diri remaja akhir-akhir ini,” jelasnya.

Sementara itu, belia kampung, Fatin Nabilah Najwa Ahmad Amin, 18 pula berkata belia kini, perlu dan wajar mengikuti program seperti ini.

“Ini kerana banyak manfaat yang dapat diperoleh seperti jalinan silaturahim antara warga tua dan muda, tunjuk ajar yang diperoleh melalui aktiviti kenduri-kendara dan seumpamanya,” ujarnya.

Bubur lambuk yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Tanjung Medang sentiasa disebut-sebut oleh warga Pekan bukan sahaja oleh sebab keenakan rasanya bahkan terbukti berkualiti dengan kemenangan johan dalam Pertandingan Mengacau Bubur Lambuk peringkat daerah Pekan dan peringkat Negeri Pahang beberapa tahun yang lalu.

1. Ketua Tukang Masak, Samsiah Ismail, mengadun bahan-bahan dan rempah ratus.

Ketua Tukang Masak, Samsiah Ismail, mengadun bahan-bahan dan rempah ratus.

Dalam pada itu, ketua tukang masak, Shamsiah Ismail, 60, menjelaskan resipi ini, diilhamkan daripada bubur lambuk Pahang ala Terengganu yang menjadi keunikan dan keistimewaan bubur lambuk Tanjung Medang yang menggunakan bahan-bahan dan ramuan rahsia yang hanya ada dalam masakan bubur ini seperti ikan, santan, daun paku merah, cekur manis, daun kaduk, daun pucuk ubi kayu, kerisik dan keledek.

“Walau bagaimanapun, ketika menyertai pertandingan lebih banyak bahan khusus termasuk puluhan jenis daunan herba yang akan dimasukkan untuk menambah rasa dan kelainan pada masakan bubur lambuk,” ujarnya lagi.

Antara bahan asas membuat bubur lambuk

Antara bahan asas membuat bubur lambuk

Agihan dijangka bermula pada 3.00 petang ini hingga selepas Asar.

Turut hadir, Penghulu dan Pengerusi K1M
Mukim Langgar 2, Zainurdin Ahmad, Setiausaha Majlis Belia Daerah Pekan, Nor Hasimah Jamaluddin, dan Ketua Kampung Tanjung Medang Hulu, Samsudin Abdul Manaf.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga dalam rangka kerja turun padang di Pekan semalam turut berbuka puasa, mengagihkan wang zakat bernilai RM2.63 juta kepada 6347 golongan asnaf dan melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8).

 

-SF

Tinggalkan komen anda