Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

Kesederhanaan Harus Menjadi Pilihan Utama – Razif

By 3 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh : Awang Muil Awang Raya / Mohd. Subhi Abang (Setiu)

SETIU, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Rakyat Terengganu disaran berjimat cermat walaupun menerima pelbagai bentuk bantuan oleh kerajaan negeri pada Ramadan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kesederhanaan perlu menjadi pilihan utama dan mengelak berlakunya pembaziran terutamanya ketika menggunakan dana sedia ada dalam perbelanjaan harian.

Rakyat diminta mengamalkan prinsip 2B2J untuk kehidupan yang lebih baik – Razif

Rakyat diminta mengamalkan prinsip 2B2J untuk kehidupan yang lebih baik – Razif

“Walaupun ada pelbagai bantuan yang diterima termasuk pemberian dana raya yang sedang dalam pengagihan sepanjang Bulan Ramadan ini, umat Islam perlu beringat bahawa setiap kesenangan yang dikecapi sekarang tidak akan kekal selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,500 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi pada majlis berbuka puasa Parlimen Setiu yang diadakan di perkarangan Masjid As Solihin Kampung Baharu Tok Dor disini petang semalam.

Ahmad Razif turut meminta rakyat mengamalkan prinsip bersyukur, bersedekah, jaga lidah dan tangan (2B2J) serta jangan membazir bagi menjamin kesempurnaan kehidupan.

“Selain dana raya, kerajaan negeri telah memberi pelbagai insentif dalam pendidikan dan sosial malah ada antara sumbangan tersebut tidak diberikan oleh mana-mana negeri.

“Sumbangan ini dilakukan untuk membantu rakyat Terengganu yang ada sesetengahnya masih hidup dalam kesusahan yang memerlukan bantuan,” ujarnya lagi.

Ahmad Razif mengingatkan Rakyat Terengganu yang tercicir dalam senarai penerima bantuan Dana Raya boleh mengemukakan rayuan untuk mendapatkan bantuan berkenaan sebelum sambutan Aidilfitri, tambah beliau lagi.

Ahmad Razif menyampaikan sumbangan sempena Majlis Berbuka Puasa semalam

Ahmad Razif menyampaikan sumbangan sempena Majlis Berbuka Puasa semalam

Menurutnya, bantuan Dana Raya  berjumlah RM88.7 juta mula diagihkan kepada 239,323 penerima di Terengganu  pada 27 Mei lalu sebagai persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, penerima boleh menebus baucer masing-masing di Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank berdekatan sebelum  September depan.

“Bagaimanapun seperti tahun sebelum ini masih ada pemohon yang layak tetapi tidak mendapatkan bantuan itu disebabkan beberapa masalah teknikal dan mereka masih diberi peluang untuk membuat rayuan,” ujarnya lagi.

Ahmad Razif turut menjelaskan, jumlah penerima bantuan sentiasa meningkat pada setiap tahun berbanding RM81.3 juta yang diperuntukkan kepada kira-kira 219,754 anak negeri pada tahun lalu.

Katanya, sebanyak RM61.1 juta akan disalurkan kepada 154,730 golongan miskin manakala RM9.9 juta untuk 33,305 warga emas; RM4.2 juta  (14,005 orang kelainan upaya) dan RM13.3 juta pula melibatkan 37,283 duda atau ibu tunggal.

Dalam majlis tersebut, beliau turut meluluskan pembinaan dua balai raya bagi membolehkan penduduk setempat melakukan pelbagai aktiviti serta peruntukan bagi aktiviti kariah Masjid Pekan Jabi.

 

-SH

Tinggalkan komen anda