
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian
LABUAN, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini mengedarkan Kad Ceria kepada golongan B40 iaitu golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Labuan.
Menurut seorang warga tempatan, Faizal Lakat, 39, usaha KWP ini mampu menangani kos sara hidup yang tinggi khususnya buat masyarakat Wilayah Persekutuan.
“Dengan adanya Kad Ceria ini, masyarakat Labuan khususnya akan menerima manfaat melalui diskaun penggunaan kad tersebut di premis-premis perniagaan seperti pasar raya, restoran, hotel dan sebagainya yang berdaftar menjadi rakan dagang program Kad Ceria.“Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana menerima Kad Ceria lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa, penggunaan Kad Ceria ini amat diperlukan dalam membeli barang-barang keperluan pada bulan Ramadan ini,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kad Ceria di Pasaraya Bataras, di sini, pagi tadi.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kata Adnan, Kad Ceria ini merupakan penjenamaan semula daripada Program Kad Ceria Wilayah Persekutuan yang telah dilancarkan pada tahun 2015.

Menteri Wilayah Persekutan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sampaikan ‘mock up’ insentif diskaun pembaharuan lesen kepada rakan dagang
“Sebanyak 1,124 syarikat yang melibatkan 1,352 cawangan dari pelbagai bidang di seluruh Parlimen di Wilayah Persekutuan telah berkerjasama dengan KWP untuk memberi diskaun secara terus kepada pemegang kad ceria,” katanya.
Antara rakan dagang di Labuan yang terlibat dalam Kad Ceria ini ialah Hotel Tiara Labuan, Restoran Warisan, 88 Phone Shop, Kedai Kopi Sopiah, Salam Textile Centre dan banyak lagi.
“Kita optimis dengan pemberian kad ini kepada golongan berpendapatan rendah, ianya mampu membantu rakyat dalam menghadapi kos sara hidup tinggi selaras dengan hasrat kerajaan untuk terus membantu rakyat dan mensejahterakan kehidupan mereka,” tambah Adnan. Sementara itu, salah seorang rakan dagang Kad Ceria, pemilik butik barangan sukan ‘Novedeep Enterprise’, Novedeep Singh, 23, berpendapat Kad Ceria tersebut sebagai salah satu usaha kerajaan dalam meningkatkan lagi ekonomi setempat.
“Warga Labuan dapat menggunakan kad tersebut untuk membeli-belah pada harga yang berpatutan dan pada masa yang sama dapat merancakkan ekonomi di pulau ini.
“Pihak Perbadanan Labuan juga turut memberikan insentif kepada rakan dagang seperti pemberian diskaun 50 peratus dalam memperbaharui lesen premis perniagaan dan juga penyewaan fasiliti milik perbadanan tersebut yang mampu mewujudkan situasi menang-menang dalam membantu usaha kerajaan meringankan kos hidup rakyat,” kata Novedeep lagi.
“Pengunjung dari Putrajaya dan Kuala Lumpur juga, yang mempunyai Kad Ceria tersebut, dapat menerima diskaun sekiranya berkunjung ke Labuan dan menginap di hotel-hotel yang menjadi rakan dagang kad ini,” tambah Anderah.
– DZ