
Laporan & Foto: Muhammad Khairul Azad Yunus (Sabah)
KOTA KINABALU, 9 Jun (Malaysiaktif) – Ketika remaja lain yang seusianya menghabiskan masa bersama rakan-rakan dan bermain dengan gajet canggih, Sharif Darrel Hakimie Razis pula memilih untuk mengisi masa terluang dengan berniaga.
Menjadikan premis-premis pejabat kerajaan dan kawasan tumpuan sebagai sasarannya, Sharif melangkah yakin dengan menjinjing beg penuh coklat yang dibuat sendiri oleh ibunya.
Kepetahan remaja berusia 13 tahun ini semasa berinteraksi bersama pelanggan mencuri perhatian sekali gus berkesan meyakinkan sesiapa sahaja untuk membeli ‘coklat sihat’ mereka.
Menurutnya, coklat sihat mereka ialah coklat yang kurang manis dan dibuat dalam beraneka perisa serta warna.
“Satu hari ibu saya boleh ?menghasilkan antara 100 hingga 200 paket coklat dan keuntungan sehari sekiranya semuanya terjual sekitar RM200?,” katanya yang ditemui semasa menjual coklat di Wisma Dang Bandang, Kota Kinabalu pada Khamis.
Kata pelajar Sekolah Maktab Sabah, Kota Kinabalu ini, dia mula menjual coklat sejak berusia 10 tahun dan bergerak bersama abang atau adiknya.
“Dulu ayah atau saudara yang hantar dan ambil kami untuk berniaga, tetapi sekarang kami lebih senang menggunakan perkhidmatan ?Uber,” kongsinya.
Sepanjang berniaga, anak keempat daripada lima beradik itu nyata puas dengan segala ilmu dan pengalaman yang diperolehnya.
“Berniaga mengajar saya untuk membina keyakinan diri dan tidak malu untuk berkomunikasi dengan orang lain,” ujarnya.
Selain itu, berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan juga mendidiknya untuk menggunakan strategi yang sesuai dan tidak sesekali mendesak orang lain untuk membeli coklatnya.
“Setiap peniaga berbeza cara yang digunakan. Kita tidak boleh paksa orang beli tetapi pada masa sama kita juga tidak boleh malu-malu untuk memberi penerangan jelas tentang produk kita,” katanya.
Dia merasa puas jika penerangannya mendapat respons yang positif dan mengakui sedang menjalankan rundingan dengan beberapa pihak yang berminat untuk memasarkan coklat mereka ?di luar Sabah.
Cucu kepada Presiden Pertubuhan Perpaduan Islam Sabah (PPIS), Datuk Sharif Perais Sharif Baba ini juga tidak ragu-ragu menyatakan hasratnya untuk mengembangkan perniagaan keluarga mereka satu hari nanti.
“Cita-cita saya ma?hu sambung perniagaan ini nanti, mana tahu boleh boleh buat kilang dan eksport ke luar negara. Saya lihat coklat kami ada potensi yang besar dan sering juga mendapat tempahan untuk majlis-majlis keramaian.
“Saya juga kena berani keluar dari Kota Kinabalu untuk mencuba pasaran-pasaran baharu. Jika tiada halangan saya bersama ahli keluarga akan ke Kuala Lumpur dan Johor untuk cuba memasarkannya,” jelasnya penuh semangat.
Sekiranya diperlukan, Sharif juga sedia berkongsi ilmu pengetahuan berniaga kepada rakan-rakan sebaya lain.
“Saya sedia kongsi pengalaman saya kepada kawan-kawan yang minat berniaga, kita kena pandai berdikari dan jangan terlalu mengharap duit ibu bapa semata-mata,” tegasnya.
Ketika ditanya upah yang diberikan kepadanya setiap kali keluar berniaga, remaja yang menetap di Petagas ini menyatakan, dia tidak pernah meminta sebarang upah daripada ibu bapanya.
“Saya buat ikhlas. Ini perniagaan keluarga, saya lihat sendiri betapa susahnya ibu saya memproses coklat dan ayah keluar menjualnya. Saya ma?hu rasa sendiri susah senang cari duit,” katanya mengakhiri perbualan.
Dalam pada itu, pembeli, Mohd Rajali Dinshah, Pembantu Am di salah sebuah agensi kerajaan di Wisma Dang Bandang berkata dia berasa terharu apabila melihat seorang remaja yang memiliki pemikiran untuk berusaha sedemikian.
“Amat jarang remaja tempatan seumur begini yang sanggup berusaha seperti ini, yang sanggup menjual tanpa malu dan takut serta yakin dengan apa yang dijual.
“Kematangan berfikir dan bertindak seperti yang difikirkan ketika umur sedemikian pasti memberi kelebihan untuk Sharif berjaya suatu hari nanti,” tambahnya.
-SF