Skip to main content
Berita TempatanSabah

Alpa Cari Keseronokan Sementara

By 25 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

INANAM, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Alpa. Begitulah kebiasaanya pengakuan remaja yang terjebak dalam aktiviti sosial dan mencari keseronokan sementara pada usia yang begitu muda sehingga perlu mendapatkan bantuan bagi memulihkan diri sendiri.

Dengan harapan dapat melupakan kehidupan kelam dan merancang semula masa depan mereka, keputusan untuk menjadi pelajar di institusi-institusi Jabatan Kebajikan untuk tempoh tiga tahun tidak dikesali.

Seorang pelajar perempuan daripada Taman Seri Puteri, Fazi, 18 mengakui kehidupan remajanya telah dihabiskan dengan perkara yang tidak berfaedah berpunca daripada masalah keluarga.

“Saya rapat dengan arwah ayah, tetapi dia meninggal lima tahun lepas akibat penyakit darah tinggi, dan belum pun sembuh kesedihan kerana kehilangannya, saya menerima khabar ibu telah berkahwin lagi setahun kemudian,” kata Fazi.

Menurutnya lagi, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan ibunya yang membelakangkan mereka dalam membuat keputusan, Fazi mula berjinak-jinak menghabiskan masa bersama teman-teman hinggalah dia berkenalan dengan teman lelakinya.

“Kalau ada pertengkaran berlaku di rumah, saya akan mengambil jalan mudah dengan keluar ke kelab-kelab malam dan adakalanya melarikan diri dan tidur menumpang di rumah kawan atau teman lelaki saya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Raya di Sekolah Tunas Bakti, semalam.

Keadaan tersebut berlanjutan selama empat tahun hinggalah keluarganya mengambil keputusan menghantarnya ke pusat penjagaan untuk remaja perempuan, di sini.

“Di sini saya belajar menjahit, mendalami agama, menanam bunga dan pelbagai lagi sebagai latihan untuk kami berdikari selepas keluar dari sini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi Juruteknologi Makmal Perubatan.

Tambahnya, kini dia mulai sedar akan kekhilafan perbuatannya sebelum ini dan berhajat untuk lebih memberi perhatian kepada keluarga selepas ini dan menyambung pelajarannya di Kolej Vokasional.

“Pada remaja yang berada di luar sana, hargailah ibu bapa anda sementara masih ada, ada dalam kalangan kawan saya yang tidak sempat untuk meminta maaf daripada ibu bapa mereka ketika mereka masih di sini,” katanya.

Tambah Fazi, hanya keluarga yang akan kekal bersama-sama kita pada saat senang dan sukar dan andai boleh diulang semula masa, pasti dia tidak akan mengulang semula semua perbuatannya dulu.

Sementara itu, seorang pelajar sekolah Tunas Bakti yang hanya mahu dikenali sebagai Bani, 19, berkata kesibukan ayah dan ibu menguruskan kilang roti milik keluarga mereka menyebabkan dia bosan berada di rumah dan memilih kawan-kawan untuk mengadu masalah.

Kesibukan keluarga menyebabkan Bani bosan dan mengadu masalah pada rakan-rakan.

Kesibukan keluarga menyebabkan Bani bosan dan mengadu masalah pada rakan-rakan.

Dia yang berasal dari Papar mengakui sering keluar malam dan melepak di kedai-kedai siber hingga menimbulkan rasa kurang senang ayahnya sehingga membuat keputusan untuk menghantarnya ke institusi kebajikan.

“Ayah menyangkakan yang saya terlibat dengan dadah sedangkan saya tidak pernah menyentuh benda-benda haram tersebut dan saya berada di luar hanya untuk menghilangkan kebosanan,” jelasnya.

Namun Bani merasa seronok berada di sekolah tersebut kerana masanya terisi dengan pelbagai kegiatan seperti khidmat sosial dan memasak malahan dalam tempoh empat bulan lagi dia akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dalam Kursus Jahitan yang dipelajari di sana.

“Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran di kolej yang menawarkan kursus membuat roti supaya dapat membantu keluarga dalam perniagaan dan dalam masa yang sama ingin mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang guru,” ujarnya.

Bani teruja untuk menguasai pelbagai kemahiran dalam satu masa kerana merasa seronok dan ingin menebus semula waktu-waktu sebelum ini yang disia-siakannya.

Jainab (empat dari kiri) bersama Mohd Noor ( lima dari kiri) dan Sitiameh (tiga dari kiri) sebelum menikmati hidangan.

Jainab (lima dari kiri) bersama Mohd Noor (dua dari kiri)  sebelum menikmati hidangan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Mohd Noor Wahab mengharapkan agar program seumpama ini dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan demi menjamin kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak khususnya di Sabah.

“Sesungguhnya pihak jabatan tidak pernah melupakan kanak-kanak dalam memberikan perkhidmatan perlindungan dan keselamatan yang terjamin demi memastikan kesejahteraan kanak-kanak terjaga.

“Lihat sahaja perbezaan kehidupan kanak-kanak di Malaysia dan di Palestin yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Mohd Noor turut merakamkan penghargaan kepada peserta Program Khalifah Junior kerana telah berjaya dalam beberapa kategori hingga sekolah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan dalam program yang berlangsung baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda