
Oleh: Asmidar Zainol / Foto: Vicky Matanjang (Sabah)
KOTA KINABALU, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, Kudat dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Agnes, Kota Kinabalu diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (Keseluruhan) bagi Pertandingan Tugu Budaya Etnik Sabah 2017 di sini pada Ahad.
Pereka Tari SMK Banggi, Caroline Jubian berkata, konsep tarian mereka diambil daripada cerita rakyat kaum Rungus di Kampung Bavanggazo, Kudat iaitu “Tipuan Barambang’.
“Tipuan Barambang membawa maksud gelaran kepada sebuah rumah paling panjang dengan lebih daripada 100 buah pintu.
“Kami mengambil masa selama satu bulan untuk membuat penyelidikan di kampung berkenaan dan mula berlatih sejak November lepas,” katanya.
Tambah Caroline, kumpulan tariannya dianggotai oleh 18 pelajar tingkatan satu hingga empat dan mereka sangat komited menjalankan latihan dengan berlatih setiap hari bermula 3.30 petang dan kadang kala sehingga 12.00 tengah malam.
“Kami tidak akan berhenti setakat ini sahaja dan kejayaan malam ini menjadi satu titik permulaan kami untuk megorak langkah lebih jauh lagi,” katanya.
Selain diumumkan sebagai penerima Anugerah utama, SMK Banggi turut dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Tradisi, Kreatif Tradisi, Koreografi Terbaik serta turut membawa pulang Anugerah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

SK Agnes, Kota Kinabalu diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (Keseluruhan) bagi kategori sekolah rendah.
Sementara itu, “Tarian Alimar” yang mengisahkan kehidupan masyarakat Murut di Tenom membawa tuah kepada SRK St Agnes setelah tujuh tahun mencuba di pertandingan tersebut.
Pereka tarinya, Nico Demus Marcus berkata, akhirnya usaha guru dan pereka tari diberi pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (Keseluruhan).
“Syukur, setelah mendapat tempat kedua dan ketiga pada tahun-tahun sebelum ini, akhirnya kami berjaya bergelar Johan Keseluruhan.
“Kami berlatih sejak Januari lepas setelah saya dan rakan pasukan membuat penyelidikan tentang suku Murut selama dua bulan di daerah-daerah pedalaman di Keningau dan Tenom,” jelasnya.
Nico turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pentadbiran sekolah serta ibu bapa kepada 16 peserta yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada kumpulan berkenaan.
SRK St Agnes turut diumumkan sebagai Johan Kategori Koreografi Terbaik, Tempat Ketiga Kategori Tradisi, Johan Kategori Kreatif Tradisi serta penerima Anugerah Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Sementara itu, SKK SJK ( C ) James Kota Kinabalu dan Sekolah Seni Malaysia, Johor diumumkan pemenang untuk kategori ‘Like Facebook Tertinggi’. SK Ulu Lubai Limbang dan SMK Medamit Limbang yang memenangi kategori Visual Terbaik.?
Pemenang bagi Kostum Terbaik ialah SK Kiawayan Tambunan dan SMK Medamit Limbang manakala Susunan Muzik Terbaik dimenangi oleh SK Kiawayan Tambunan serta SMK Medamit Limbang.
Manakala Jackey Stanley dari SK Kahaba Keningau dan Al Farhan Jeffrin dari SMK Lohan Ranau dinobatkan sebagai Penari Lelaki Terbaik dan Nurmizan Armi dari SK Sri Gaya Kota KInabalu serta Elysha Chin dari SM All Saints Kota Kinabalu diumumkan sebagai penerima Anugerah Penari Perempuan Terbaik.
Penerima anugerah Sekolah Harapan adalah SK Stella Maris Tanjung Aru Kota Kinabalu dan SMK Lohan Ranau, SK Kiawayan Tambunan diumumkan pula sebagai Johan Kategori Tradisi sekolah rendah .
SK Ulu Lubai Limbang dan SMK Nambayan Tambunan pula menerima anugerah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, dan SK Kiawayan Tambunan, SMK Medamit Limbang diumumkan sebagai penerima anugerah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Bagi kategori Antarabangsa, Russia membolot lima hadiah utama iaitu Penari Perempuan Terbaik, Kostum Terbaik, Koreografi Terbaik, Johan selain Johan Keseluruhan.
Dalam pada itu, pasukan Filipina menerima dua anugerah iaitu, Penari Lelaki Terbaik dan Naib Johan manakala Indonesia menerima dua anugerah iaitu Susunan Muzik Terbaik dan Tempat Ketiga.
Upacara penutup Pertandingan Tugu Budaya Etnik Sabah 2017 dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Seramai 656 peserta daripada 14 sekolah rendah dan 15 sekolah menengah terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Sabah pada 19 hingga 23 Julai lepas.
–SF