Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Pendidikan Anak-Anak Autisme NASOM Terjejas Akibat Kekurangan Dana

By 25 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Norieza Abd Ghafar (Klang)

KLANG, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) membelanjakan kos operasi kira-kira RM7 juta setiap tahun untuk 21 pusat pembangunannya di seluruh negara.

Kekurangan dana antara faktor yang menjejaskan pembangunan pendidikan dan operasi NASOM yang mempunyai lebih 100 orang kakitangan dan kira-kira 600 anak-anak autisme di seluruh negara.

Menurut Presidennya, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin, ada pusat pembangunan yang dicadangkan untuk ditutup kerana dana yang terhad seperti di Segamat, Johor; Miri, Sarawak dan Kota Bharu, Kelantan.

Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin (tiga dari kanan) ketika menerima Jalur Gemilang oleh Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (tiga dari kiri).

Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin (tiga dari kanan) ketika menerima Jalur Gemilang oleh Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (tiga dari kiri).

“Namun demikian, selepas bermesyuarat, kami mengambil keputusan untuk tetap menyelamatkan tiga cawangan pusat NASOM tersebut dan saya sendiri akan turun padang bagi mencari dana,” ujarnya.

Beliau ditemui pada program Grafiti Negaraku Media Massa Bersama Kanak-kanak Autisme anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) di NASOM cawangan Teluk Pulai, di sini, hari ini.

Tambahnya, mereka kini dalam rundingan untuk membuka satu cawangan pusat penbangunan autisme di Sabah.

Pusat NASOM cawangan Teluk Pulai, Klang.

Pusat NASOM cawangan Teluk Pulai, Klang.

Jelas Megat Ahmad Shahrani lagi, dia juga memasang impian untuk mempunyai pusat pembangunan seperti PERMATA Kurnia di Sentul, Kuala Lumpur yang menyediakan program lengkap dan sempurna tetapi mereka tidak berkemampuan.

“Sistem sokongan bagi kanak-kanak autisme yang sedia ada ini masih tidak mencukupi tetapi kami mendapat sokongan daripada pihak kerajaan untuk mendapatkan geran,” jelasnya.

Selain itu, mereka turut bekerjasama bersama-sama agensi kerajaan dan swasta bagi memberi informasi berkaitan autisme dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

Kibaran Jalur Gemilang bersama pendidik dan Kanak-Kanak Autisme Cawangan Teluk Pulai, Klang.

Kibaran Jalur Gemilang bersama pendidik dan Kanak-Kanak Autisme Cawangan Teluk Pulai, Klang.

“Sebelum ini, program sebegini telah dilaksanakan di Titiwangsa. Peranan program ini sangat baik dan sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan, melatih dan membantu kanak-kanak autisme ini untuk minat melukis. Namun, karektor kanak-kanak ini berbeza antara satu sama lain mengikut kemahiran individu,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang melancarkan program grafiti ini berkata program sebegini bertujuan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada anak-anak autisme melalui kreativiti melukis grafiti.

Dalam pada itu, Ibrahim juga menjelaskan perlu ada kesedaran di dalam masyarakat hari ini mengenai permasalahan anak autisme yang memerlukan bantuan khususnya membabitkan kefahaman sifat mereka agar tidak dianggap sebagai bebanan.

Datuk Ibrahim Abdul Rahman (kanan) dan Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin (kiri) ceria ketika program Grafiti Negaraku Media Massa Bersama Kanak-kanak Autisme.

Datuk Ibrahim Abdul Rahman (kanan) dan Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin (kiri) ceria ketika program Grafiti Negaraku Media Massa Bersama Kanak-kanak Autisme. Foto: Hazlina Hj Tajuddin

Ibrahim turut menyatakan JaPen akan memperluaskan program-program sebegini di 20 lagi Pusat Autisme Malaysia yang bersesuaian sebagai rakan strategik.

“Kita sama-sama ketepikan perbezaan, kita raikan persamaan dalam kenegaraan dalam Jalur Gemilang. Itulah harapan kami memulakan program-program ini di setiap lapangan.

“Lazimnya, masyarakat akan menyambut Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka tetapi kali ini Jabatan Penerangan Malaysia mengetengahkan kanak-kanak autisme untuk bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik dan sambutan kemerdekaan Malaysia kali ke-60,” ujarnya.

Hasil lukisan grafiti oleh anak-anak autisme NASOM Teluk Pulai, para pengamal media dan anggota Jabatan Penerangan Malaysia.

Hasil lukisan grafiti oleh anak-anak autisme NASOM Teluk Pulai, para pengamal media dan anggota Jabatan Penerangan Malaysia. Foto: Diyana Zamri

Lukisan grafiti berkonsepkan Negaraku Sehati Sejiwa berukuran 11.75 meter lebar x 1.75 meter tinggi ini melibatkan agensi media seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama News Channel (BNC), The Star dan Kumpulan Media Karangkraf.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda