
Laporan dan foto oleh: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Pusat Akar Budi merupakan pusat sehenti untuk pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjalankan aktiviti-aktiviti yang berhubung kait dengan budi seperti gotong royong dan khidmat masyarakat.
Pusat ini bakal dibuka sepenuhnya pada September nanti untuk penduduk setempat dan memberi peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat program kemasyarakatan dengan kerjasama UIAM seperti penganjuran kelas tuisyen, kelas agama (mengaji), program motivasi dan sebagainya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Kampung Batu 12 Gombak, Adillawati Uncut, 40, menyambut baik program Akar Budi kerana secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan pendidikan masyarakat khasnya kaum orang Asli di kawasan tersebut.

Pusat Akar Budi UIAM akan meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat orang asli – Adillawati Uncut, Pengerusi JKKKOA Kampung Batu 12 Gombak.
“Saya difahamkan pelbagai program berbentuk akademik dan kemasyarakatan yang akan diadakan yang bakal memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan masyarakat orang Asli yang begitu dahagakan program seumpama ini,” jelasnya.
Tambah Adillawati, sebagai Pengerusi JKKKOA, dia tiada sebarang halangan untuk membenarkan penduduk kampungnya menyertai program ini dan menimba ilmu sebanyak mungkin.
Dalam pada itu, guru agama Surau An Nur, Batu 11 Gombak, Umi Khalthum Muhamed Yunus, 58, pula berpendapat pembukaan Pusat Akar Budi UIAM ini mendekatkan jurang antara orang kampung dengan universiti di samping penduduk tempatan turut menimba pelbagai ilmu daripada golongan cerdik pandai.

Melalui Pusat Akar Budi ini akan mendekatkan jurang antara penduduk dengan UIAM – Umi Khalthum Muhamed Yunus, Guru Agama JAKOA Gombak.
“Anak-anak kami bakal meningkatkan pengetahuan melalui ilmu yang akan diberikan oleh mereka yang telah terbukti sebagai golongan akademik terkemuka dan hubungan silaturahim bakal terjalin antara penduduk kampung dengan pihak UIAM,” kata guru agama tersebut yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak.
Manakala, seorang penduduk Kampung Batu 11 Gombak, Salahudin Ismail, 63 juga sependapat dengan Umi Khalthum.

Pembukaan pusat ini memberi manfaat memandangkan kampung ini kekurangan kemudahan seperti dewan – Salahudin Ismail, penduduk Kampung Batu 11 Gombak
“Pusat Akar Budi ini di samping melaksanakan aktiviti berbentuk ilmiah, ia juga memberi peluang kepada penduduk kampung sekitar menggunakan kemudahannya seperti dewan untuk mengadakan program kemasyarakatan seperti kenduri kahwin atau seumpamanya,” katanya.
Sementara itu, Presiden UIAM yang juga Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim melancarkan Pusat Akar Budi UIAM yang diadakan di Batu 11 Gombak, tengah hari tadi.
Menurutnya, pelancaran Pusat Akar Budi ini merupakan sumbangan UIAM kepada masyarakat setempat khasnya golongan orang Asli dan meneguhkan lagi hubungan silaturahim antara universiti dengan masyarakat yang sedia terjalin.

Ini merupakan sumbangan UIAM untuk penduduk setempat dan meneguhkan silaturahim yang sedia terjalin – Tan Sri Dr Rais Yatim
“Program Akar Budi diilhamkan agar menjadi pusat latihan dari segi agama, budaya, bahasa dan bimbingan yang lain untuk penduduk tempatan khasnya masyarakat orang Asli di Gombak ini.
“Selain itu, UIAM ingin mewujudkan skim melatih bangsa Malaysia ke arah budaya tinggi dengan mewujudkan nilai-nilai yang baik diamalkan dalam masyarakat seperti kebersihan, kesihatan dan perasaan muhibah dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini,” jelasnya.
-DZ