Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penjawat Awam Persekutuan Perlu Beri Kerjasama Kepada Pemimpin Negeri

By 20 Julai 2017Julai 27th, 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Jul (Malaysiaktif) – Penjawat awam persekutuan di negeri ini diingatkan untuk memberi sepenuhnya kerjasama kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Menurut Setiausaha Persekutuan (SUP) Negeri Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani, kerjasama tersebut dapat membantu kerajaan meneruskan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan berkesan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Nor Rizan (kanan) bersama Pengarah Agensi dan Jabatan Kerajaan Persekutuan.

Nor Rizan (kanan) bersama Pengarah Agensi dan Jabatan Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, dalam pembinaan sekolah, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala kerajaan persekutuan menyediakan kemudahan fizikal sekolah.

“Guru-guru pula terdiri daripada penjawat awam persekutuan dan para pelajar ialah penduduk tempatan.

“Tanpa kerjasama antara kerajaan negeri dengan persekutuan, kita sukar merealisasikan pembinaan sekolah yang dapat memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat demi masa depan anak-anak kita di Sabah,” ujarnya.

Musa turut menggalakkan penjawat awam untuk memberikan komitmen dan sokongan penjawat awam untuk terlibat secara aktif dalam sebarang majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri terutamanya semasa perayaan Hari Kebangsaan nanti.

“Bagi menyemarakkan semangat patriotisme semasa Bulan Kebangsaan, saya menyeru Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi persekutuan untuk memberi perhatian serius dalam soal kehadiran dalam apa-apa jua program anjuran Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Sabah di sini, pagi tadi.

Nor Rizan turut menasihati penjawat awam untuk memberi sokongan kepada kerajaan hari ini, bersikap profesional, mengamalkan budaya integriti dan berprestasi tinggi.

Bagi Timbalan Pengarah Pembangunan Usahawan, FAMA Negeri Sabah, Mohammad Shukri @ Doel Majalin, amanat yang disampaikan oleh SUP semasa perhimpunan tersebut perlu dihayati dan dilaksanakan untuk mengekalkan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.

Timbalan Pengarah Pembangunan Usahawan, FAMA Negeri Sabah, Mohammad Shukri @ Doel Majalin

Timbalan Pengarah Pembangunan Usahawan, FAMA Negeri Sabah, Mohammad Shukri @ Doel Majalin

“Hubungan murni dan menyantuni antara satu sama lain akhirnya akan memberikan faedah kepada golongan sasar dan rakyat Sabah dan Malaysia amnya,” jelasnya kepada lebih 600 penjawat awam persekutuan yang hadir.

Mohammad Shukri menerangkan, pada ketika ini, FAMA sentiasa berusaha untuk berkomunikasi dengan golongan sasarnya melalui laman sosial dan juga aplikasi WhatsApp serta masuk ke kampung-kampung bagi menyampai dan mendapatkan maklumat daripada golongan sasar mereka.

“Bagi penyampaian maklumat yang berkesan, kita menggunakan kaedah-kaedah terkini iaitu melalui media sosial serta aplikasi WhatsApps dan tidak lupa untuk turun padang berdialog bersama penduduk kampung agar mereka mendapat informasi yang tepat dan seterusnya memberi manfaat kepada mereka.

“Sambutan yang diterima amat baik. Walau bagaimanapun kita tak nafikan Sabah sangat luas, kita masih ada ruang untuk membaiki penyampaian kita itu dan dari semasa ke semasa ke semasa kita sentiasa mencari idea-idea baharu untuk menjadikan penyampaian maklumat itu lebih berkesan,” kongsinya kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Rosley Hobden

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Rosley Hobden

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Rosley Hobden yang ditemui selepas perhimpunan tersebut berkata penganjuran program berkenaan adalah baik dan dapat memberi pengetahuan isu-isu semasa kepada penjawat awam yang hadir.

“Melalui program seumpama ini, penjawat-penjawat awam Persekutuan Sabah dapat mendengar amanat serta perkara-perkara yang perlu dititikberatkan sebagai seorang penjawat awam antaranya integriti dan sebagainya.

“Begitu juga dalam perhimpunan ini diselitkan ceramah daripada pihak Bank Negara. Melalui ceramah tersebut, penjawat awam didedahkan kepada perkara yang sepatutnya kita ambil perhatian seperti contoh Skim Cepat Kaya yang kita sedari dan kita perlu elakkannya,” jelasnya.

Rosley turut memaklumkan pihaknya mengalu-alukan penekanan oleh Nor Rizan berkenaan isu integriti yang disebut dalam amanatnya.

“Amanat yang disampaikan oleh Setiausaha Persekutuan, sangat bertepatan pada masanya kerana kami di PDRM bakal melancarkan program Lafaz Ikrar Bebas Rasuah oleh seluruh warga PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah masing-masing pada Isnin ini,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda