Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

[KEMAS KINI] Rakyat Sentiasa Dibela Demi Membawa Semua Ke Arus Kemajuan Lestari

By 31 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan oleh: Fauzrina Bulka / Foto: Abdul Sani Ariff Lokman

KOTA BELUD, 31 Jul (Malaysiaktif)- Penduduk di sekitar kawasan Kota Belud sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan dalam memastikan kehidupan mereka terbela dan masa depan terjamin.

Sehubungan itu, dalam usaha menyentuh rakyat, mengharung debu dan meniti titi tidak menjadi masalah kepada ahli Rosok OffRoad Club yang bersama-sama menghantar bantuan kepada seorang ibu tunggal dan lima anaknya di Kampung Bugaron, di sini kelmarin.

Jalanan yang berdebu menaikkan lagi semangat ahli kelab untuk menghantar bantuan

Jalanan yang berdebu menaikkan lagi semangat ahli kelab untuk menghantar bantuan

Menurut presidennya, Ensui Gudul ini merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang ketiga telah dijalankan oleh kelab tersebut bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kami memilih Gensayu Sambadi kerana dia menepati kriteria yang dicadangkan oleh ahli kelab dan hari ini kami telah menyumbangkan barangan dapur, pakaian dan dapur memasak,” katanya.

Perjalanan 11 kenderaan 4×4 memakan masa lebih satu jam dari Kota Kinabalu ke Kampung Bugaron yang 90 peratus daripada penduduknya beragama Islam manakala selebihnya ialah pagan.

Ditambah lagi perlu melintasi titi yang hanya tiga kaki lebar sepanjang 200 kaki menjadi cabaran kepada 25 orang peserta konvoi kerana perlu membawa pelbagai barangan sumbangan.

“Titi itu hanya boleh dilalui lima orang sekali lalu untuk keselamatan peserta, walaupun agak terhuyung hayang kerana keadaan titi tidak stabil, namun kami berjaya harunginya hingga ke seberang,” kata Ensui.

Selepas berjaya mengharung titi, peserta perlu berjalan 100 meter lagi sebelum sampai ke rumah penerima yang terletak berhampiran sawah padi.

Menurut Ketua Kampungnya, Saimon Sabalah penerima sumbangan pada kali ini telah kematian suami sejak enam tahun lepas akibat kemalangan dan sejak itu Gensayu mengalami kemurungan.

“Namun begitu, kami sedaya-upaya membantu keluarga ini dengan memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan kehidupan keluarga berkenaan dan akhirnya permohonan tersebut lulus dan mereka menerima RM300 setiap bulan,”katanya.

Cabaran meniti titi tidak mematahkan semangat ahli kelab.

Cabaran meniti titi tidak mematahkan semangat ahli kelab.

Kata Saimon, sebelum ini Gensayu sudah pernah memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT), namun setelah siap dibina, berlaku perbalahan antara keluarga akan status hak milik tanah rumah itu dibina.

“Disebabkan tidak ingin masalah berpanjangan, Gensayu akhirnya mengalah dan arwah suaminya membina rumah berukuran 6 kaki x 8 kaki di atas tanah saudara untuk mereka sekeluarga berteduh,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan dan memikirkan kebajikan Gensayu bersama anak-anak, Saimon juga telah membantu dan menghantar sekali lagi permohonan rumah PPRT dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk, Datuk Musbah Jamli Pejabat Daerah Kota Belud agar mereka dapat berteduh di kediaman yang lebih baik.

“Anak-anaknya juga turut menerima Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan beberapa bantuan lain daripada sekolah masing-masing.

Tetapi sekarang hanya anak yang bongsu berusia 11 tahun sahaja yang masih meneruskan pelajaran si Sekolah Khas manakala yang lain sudah tidak berminat untuk belajar,”ujar Saimon.

Menurutnya, perbelanjaan harian mereka juga hasil upah dengan bertani dan menjual sayur-sayuran hutan yang terdapat berhampiran rumah mereka.

“Gensayu sebenarnya kurang sihat dan mengalami kemurungan semenjak pemergian suaminya, jika dia kehabisan ubat, ayahnya yang akan ke klinik untuk membantu menambah stok ubatannya,” katanya.

Namun begitu, Keluarga Gensayu kini boleh mengharapkan masa depan yang lebih ceria dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri Sabah dan usaha jitu pihak wakil rakyat dan juga ketua kampung.

“Kita berharap agar permohonan rumah PPRT dapat dipercepat dan saya mengalu-alukan badan-badan NGO (bukan kerajaan) yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini agar mereka dapat merasa kehidupan yang lebih baik,” katanya.

SF/AAS

 

Tinggalkan komen anda