Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Sektor Perladangan dan Komoditi Sumbang RM122 Bilion Pendapatan Eksport Negara

By 15 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Pelapor / Foto Oleh : Nur Shafira Mat Hussin /Ruslan Abd Rahman (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 14 Julai (Malaysiaaktif) – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, komited dalam menjadikan sektor komoditi terus menjadi pengeksport utama berbanding sektor-sektor lain dan memberi impak besar dalam pembangunan sosio ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, sektor perladangan dan komoditi telah menyumbang sebanyak RM122 bilion kepada pendapatan eksport negara dan penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan eksport negara selepas sektor elektrik dan eletronik (E&E)..

Antara produk hasil kenaf yang dipamerkan.

Antara produk hasil kenaf yang dipamerkan.

“Kerajaan menerusi Insentif Penanaman Kenaf bernilai RM2,385 sehektar bagi pengeluaran fiber dan RM2,999 bagi pengeluaran benih telah diwujudkan untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan pekebun kecil yang ingin memulakan tanaman Kenaf.

“Bagi tahun ini juga sebanyak RM5.6 juta telah diperuntukan oleh kerajaan agar sasaran tanaman kenaf diseluruh negara merangkumi pengeluaran fiber dan benih seluas 2,200 hektar tercapai,” ujarnya.

Siew Keong berkata, Program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRar) yang diwujudkan ini merupakan cara bagi membantu rakyat dan petani yang ingin mengusahakan kenaf.

“Selain program IKRaR, kerajaan turut menyediakan bantuan insentif dan kemudahan Pusat Pemprosesan Kenaf In-Situ seperti di Pasir Puteh, Kelantan dan Rompin, Pahang bagi memudahkan industri kenaf terus berkembang.

“Selain itu, menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), projek kilang pemprosesan kenaf dan produk bernilai RM25 juta di Setiu, Terengganu sedang dalam proses pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018,” jelasnya ketika merasmikan Program IKRaR di Sekolah Kebangsaan Kampong Berangan, Selising, Pasir Puteh di sini.

Disamping memberikan galakan kepada para petani untuk menanam kenaf, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menyerahkan bantuan sejumlah RM16,800 kepada seramai 26 orang pelajar daripada kalangan anak-anak pekebun kecil kenaf yang berjaya memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Datuk Haji Mohd Adhan Kechik turut berkata bahawa setiap anak-anak pekebun kecil kenaf yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT adalah layak mendapat bantuan wang ehsan sebanyak RM800 untuk ijazah dan RM500 untuk diploma.

“Wang ehsan ini adalah suatu bantuan daripada kerajaan melalui LKTN untuk membantu anak-anak pekebun kecil kenaf dan memastikan tanggungjawab sosial korporat dan kebajikan pekebun kecil terus diberi perhatian,” jelasnya lagi.

Wan Mohd Faizol berharap LKTN dapat mempelbagaikan aktiviti menggalakkan belia menceburi kenaf.

Wan Mohd Faizol berharap LKTN dapat mempelbagaikan aktiviti menggalakkan belia menceburi kenaf.

Seorang penerima bantuan, Wan Mohd Faizol Wan Mohd Khozami, 21, merupakan pelajar program Ijazah Pendidikan Sastera di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada pihak LKTN kerana prihatin dengan situasi anak-anak pekebun kecil kenaf ini.

“Ayah saya merupakan seorang pekebun kecil kenaf sejak tahun 2012, hasil daripada tanaman kenaf banyak membantu ekonomi keluarga saya.

“Harapan saya selepas ini pihak LKTN dapat memperkenalkan lebih banyak program yang bersesuaian dengan golongan belia supaya lebih ramai belia dapat menceburi bidang tanaman kenaf ini,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali dan Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Samsuddin Hj Noor.

-SH

Tinggalkan komen anda