Skip to main content
Berita TempatanSabah

Padang Kg Timbang Dayang Lahir Ramai Pemain Bola Sepak Negara

By 14 Julai 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Nur Azean Makbul / Foto: Muhd Faizan Kajul (Sabah)

KOTA BELUD, 14 Jul (Malaysiaktif) – Padang Kampung Timbang Dayang sekali lagi dipilih sebagai lokasi cetus semangat dan nafas baharu kepada bekas pemain negara dan Sabah, Matlan Marjan setelah kembali ke arena bola sepak tanah air.

Menurut Pengerusi Pengelola ‘The Friendship Circle’, Fadli Juanas, pemilihan padang tersebut berikutan padang berkenaan telah melahirkan ramai pemain bola sepak berjaya antaranya adalah dari keluarga Marjan iaitu Matlan dan adiknya Zainizam.

“Padang ini ialah tempat permainan Matlan bersama rakan-rakannya semasa zaman kanak-kanak lagi sehingga bakat dan kebolehannya terus digilap dan berjaya mengegarkan dunia bola sepak negara.

Antara bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Sabah.

Antara bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Sabah.

Tambahnya, sebagai langkah permulaan untuk menyuntik semula semangat cinta dan sayang bola sepak maka kami bermula di padang ini dengan membawa bekas pemain negara seperti Suharmin Yusuf, Junaidi Tuah, Sharil Arsat, Shebby Singh dan ramai lagi pemain kebangsaan dan Sabah sendiri sebagai tanda sokongan kebangkitan semangat kepada bakal pemain generasi muda akan datang.

“Program ini secara tidak langsung dapat mengembalikan kegemilangan padang tersebut serta memberi peluang kepada masyarakat setempat bertemu dengan bekas pemain negara berkenaan.

Jelasnya lagi, selain dapat bertemu bekas pemain negara, program tersebut turut diserikan dengan pemberian sumbangan jersi kepada 45 pasukan bola sepak di daerah berkenaan sumbangan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak yang disampaikan oleh Ahli Dewangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ukoh @Jeremmy Malajad.

Baharul (Baju Biru) bersama Serbegeth Singh, James Wong, Matlan Marjan  bersama para peserta klinik bola sepak pada program tersebut.

Baharul (Baju Biru) bersama Serbegeth Singh, James Wong, Matlan Marjan bersama para peserta klinik bola sepak pada program tersebut.

“Selain itu, para legenda bola sepak negara turut berpeluang menyampaikan sumbangan sebanyak 80 bola serta turut mengadakan klinik bola sepak dan perlawanan persahabatan antara bekas pemain kebangsaan dengan bekas pemain Sabah pada program tersebut”, ujarnya.

Sementara itu, peminat, Azrul Pelih, 28, berkata dia sangat teruja apabila mengetahui adanya program ini dan tidak sabar untuk melihat sendiri wajah-wajah legenda pemain negara tersebut.

“Saya dapat tahu penganjuran program tersebut seminggu awal dan mula memikirkan benarkah para pemain legenda tersebut hadir dan sehari sebelum pelaksanaan program hati saya semakin tidak sabar. Waktu itu rasa puas jika dapat bergambar dan bertemu sendiri dengan mereka.

“Diharap penganjuran program seperti ini merupakan satu langkah bijak dan tepat dalam menyuntik semangat anak-anak muda di daerah ini untuk kembali melahirkan bakat gemilang pemain bola sepak negara suatu masa nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, bekas pemain negara, Matlan Marjan ketika ditemui turut mengatakan penganjuran program tersebut memang amat memberi impak kepada dirinya selaku bekas pemain lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan bekas pemain negara turut bersamanya.

“Penganjuran program ini berjaya memberikan saya semangat ingin kembali mencurahkan bakti kepada pembangunan bola sepak negara.

Mengulas tentang perkembangan dirinya setelah diberi pengampunan bebas daripada hukuman pergantungan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Yang Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim Ismail pada 8 April lalu memberikan sinar baharu kepada dirinya.

“Setelah saya dimaklumkan terhadap pengampunan ini saya merasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada presiden FAM yang baharu dan terus cuba mencari semula kekuatan diri serta merancang kembali usaha-usaha untuk melibatkan diri semula dalam arena bola sepak negara.

Shahril Arsat, Pemain terbaik Final Piala Malaysia 2002.

Shahril Arsat, Pemain terbaik Final Piala Malaysia 2002.

“Sebagai permulaan kepada suntikan semangat tersebut saya mulakan dari padang kelahiran yang membentuk saya berjaya iaitu padang Kampung Timbang Dayang ini”, luahnya dengan rasa semangat dan terharu dengan penganjuran program tersebut.

Jelasnya, ketika ini dia sedang dalam proses memohon lesen kelas C (lesen kejurulatihan) daripada Asean Football Confederation (AFC) dan Football Association of Malaysia (FAM) sebagai

“Selain itu, saya juga bercadang untuk menubuhkan sebuah kelab akademi bola sepak di Sabah dan akan menjelajah seluruh negeri ini bersama bekas pemain kebangsaan untuk mencari bakat-bakat baharu.

Tambahnya, setakat ini dua lebih suka untuk memberikan fokus kepada pembangunan bola sepak di Sabah sahaja iaitu dengan menyasarkan 2020 sebagai tahun kebangkitan arena bola sepak Sabah melalui akademi bola sepak dan kejurulatihan yang berkualiti.

“Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) perlu bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam pencarian bakat pemain berpotensi di sekolah-sekolah selain menyediakan tempat latihan yang baik”, katanya lagi semasa ditemui semalam di kediamannya.

Serbegeth Singh turut menunjukkan aksi pada program tersebut.

Serbegeth Singh turut menunjukkan aksi pada program tersebut.

Sementara itu, wakil Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Baharul Sawi turut memuji penganjuran tersebut yang dilihat mampu menarik minat anak-anak muda khususnya belia untuk bergiat aktif dan kembali menyimpan impian untuk menjadi seorang pemain terkenal suatu masa nanti.

“Program ini secara tidak langsung memberi aktiviti sihat serta bermanfaat dan hobi kepada belia di daerah ini untuk menjadi pemain gemilang.

Tambahnya, pemilihan padang Kampung Timbang Dayang ini juga adalah bertepatan dan sesuai sebagai penyuntik semangat setia kawan sambil mengenang kembali nostalgia kelahiran seorang pemain bola sepak negara di daerah ini.

Baharul berkata demikian semasa merasmikan program ‘The Friendship Circle’ anjuran bersama Kelab Belia Timbang Dayang  di kampung tersebut pada Sabtu.

SF

Tinggalkan komen anda