
Laporan dan foto oleh: Mohd Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Kontinjen perbarisan Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mencuri tumpuan para pengunjung yang hadir apabila muncul dengan uniform bertemakan ‘Tun Razak’ di Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2017, pagi tadi.
Berlangsung di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, lebih 10,000 pengunjung membanjiri sepanjang laluan perbarisan dari Banda Hilir ke Jalan Hang Tuah.
Kostum kontinjen Balai Islam MAIM menyemarakkan lagi tema sambutan tahun ini iaitu berkaitan patriotik lama yang membawa kita mengenang kembali detik Merdeka era zaman Tun Abdul Razak.
Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Balai Islam MAIM, Zalikha Shahimuddin, 27, tema Tun Razak telah dipilih oleh pihak pengurusan Balai Islam MAIM sesuai dengan tema tahun ini kerana sumbangan besar Bapa Pembangunan Negara itu dalam sejarah kemerdekaan negara.
“Kesemua peserta seramai 45 orang terdiri daripada saudara Muslim dan kakitangan pihak pengurusan Balai Islam.
“Selain meningkatkan semangat patriotik dan jati diri sesama saudara baru, perbarisan ini juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama saudara Muslim. Kita ingin melahirkan saudara Muslim yang hebat dalam kalangan masyarakat,” ujar Zalikha.
Bagi seorang peserta perbarisan, Reduan Abdullah, 46, dia berasa bangga hari ini kerana terlibat dalam perbarisan Kontinjen Balai Islam sempena Perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka tahun ini.
“Inilah sumbangan kecil saya sebagai warga Malaysia yang cintakan tanah air. Dengan menggunakan set pakaian Tun Razak dan tanda nama ‘RAZAK’ hati saya sayu apabila mengenang kembali sejarah perjuangan penuntut kemerdekaan.
“Dan mengimbau kembali ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia, membuatkan saya lebih menghargai kemerdekaan negara kerana pengorbanan pejuang terdahulu mendapatkannya dengan perih-jerih dan berkorban segalanya,” jelas Reduan.
Selain itu, seorang lagi peserta, Nur Natasha Alisha A.M Mohan, 17, berkata sebagai seorang pelajar, dia sangat berbangga dapat menyumbang tenaga untuk menjayakan perbarisan hari ini.
“Di samping dapat melihat suasana sambutan dan meningkatkan jati diri sebagai rakyat Malaysia, saya juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Kontinjen Balai Islam menerapkan elemen perpaduan dengan adanya pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Etnik Sabah dan Sarawak. Inilah 1 Malaysia yang menjadi tunjang keharmonian negara,” kata Nur Natasha yang benar-benar merasai semangat cinta negara melalui tema Tun Razak.
Sebanyak 156 kontinjen menyertai Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Melaka ini antaranya termasuk Jabatan Pendidikan Melaka, Telekom Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Kaum Chetti Melaka.
-DZ