Skip to main content
Berita TempatanSabah

Demam Tak Halang Olan Bergelar Juara Dunia Remaja Muay Thai

By 22 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

TAWAU, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Diasak dengan latihan setiap pagi dan petang hingga demam panas mencecah 40 darjah celsius tidak menghalang Daniel Fiedieans Maideh atau gelarannya Olan Todak membawa gelaran Juara Remaja Dunia Muay Thai.

Anak jati Tawau berusia 12 tahun itu turut mengalirkan air mata akibat latihan yang keras selama lima hari sebagai persediaaan mewakili negara ke World Youth Muay Thai Championship 2017 pada awal Ogos lepas.

Olan bercita-cita menjadi atlet profesional suatu hari nanti.

Olan bercita-cita menjadi atlet profesional suatu hari nanti.

Dalam perlawanan itu, Olan antara 10 orang peserta yang terpilih mewakili Malaysia dan enam daripada mereka berasal dari Sabah.

“Saya memberinya vitamin serta makanan tambahan yang cukup dan mujur demamnya kebah sebelum hari sebenar kami berangkat ke Bangkok,” ujar jurulatihnya, Fazren Kusin.

Fazren yang juga ayah saudara kepada Olan berkata, pelbagai cabaran turut menanti mereka di negara gajah putih itu iaitu perbezaan cuaca dan juga makanan kerana penting untuknya menjaga diet Olan.

“Lebih 1000 penyertaan dari 80 buah negara bertanding dalam kejohanan itu termasuk Thailand, tetapi saya sememangnya kagum pada Olan kerana  sejak penglibatannya dalam arena ini, dia memang jarang berasa gentar dan ‘hati kering’,” ujar Fazren ketika ditemui di studio latihan miliknya, Tims MuayThai Club, Tawau pada Jumaat lepas.

Lapan orang rakannya telah pun tumpas pada awal perlawanan membuatkan mereka sugul tetapi apa yang membuatkan jurulatih serta para pengiring merasa sebak ialah saat Olan berdiri dan berjanji akan menebus kekalahan tersebut dengan memberikan kemenangan kepada negara.

Dan memang benar, Olan memegang janjinya menjadi juara dengan menewaskan peserta dari Uzbekistan dalam pertarungan 10-9, 10-9, 10-9 dalam perlawanan akhir kategori lelaki 12-13 tahun.

Kejayaannya itu sekali gus menambah koleksi pingat emasnya yang turut muncul juara Kejohanan Remaja Muay Thai Kebangsaan di Damansara Utama, Kuala Lumpur pada 6 hingga 9 Julai lalu.

Gigih menjalani latihan di Tims Muaythai Club

Gigih menjalani latihan di Tims Muaythai Club

“Remaja sekarang perlu belajar seni pertahanan diri kerana kita sebagai penjaga tidak 24 jam bersama mereka, sekurang-kurangnya mereka boleh mengelak jika diserang,” kata Fazren tentang kelebihan mempelajari seni tempur.

Fazren turut berharap agar sukan Muay Thai dapat disenaraikan dalam Sukan Sabah (SAGA) selain tinju agar dapat lebih memeriahkan lagi sukan tempur ini di Sabah di samping dapat mencungkil bakat-bakat baharu.

Mengimbas kembali pada awal pembabitannya dalam arena ini, Olan sering melihat datuknya, Kusin Yong Ping Ai @Basri melatih bapa-bapa saudaranya dalam sukan tinju di halaman rumah mereka.

“Bila selalu tengok mereka berlatih, saya pun memasang niat mahu jadi seperti mereka satu hari nanti, sejak itu saya selalu ikut mereka bersenam dan berjogging,” katanya yang dilatih secara serius pada 2012.

Olan yang mempunyai seorang abang Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal turut menanam tekad untuk menjaga abangnya apabila dewasa memandangkan hanya mereka hanya dua beradik.

Umurnya yang masih muda juga adakalanya akan memberontak kerana pak ciknya sangat menjaga pemakanan Olan, dan jika teringin dia masih juga sesekali mengambil makanan ringan seperti aiskrim dan gula-gula.

“Tapi saya tidak pernah culas(tipu) dengan pengambilan vitamin yang disarankan kerana saya dapat rasai peningkatan tenaga dan jarang merasa letih,”ujarnya.

Olan(empat dari kiri) bersama Fazren (dua dari kanan), datuk (tiga dari kanan), nenek dan ayah saudaranya bergambar bersama piala dan pingatyang dimenangi

Olan(empat dari kiri) bersama Fazren (dua dari kanan), datuk (tiga dari kanan), bergambar bersama piala dan pingat yang dimenangi

Olan yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) pada 11 September nanti turut bertuah kerana mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Saya memang bercita-cita untuk menjadi atlet profesional suatu hari nanti. Justeru, saya perlu pandai mengagihkan masa antara pelajaran dan latihan sukan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan memberikan insentif khas kepada Olan berupa wang tunai namun nilai insentif belum ditentukan.

Kementerian Belia dan Sukan turut memberikan bantuan kewangan bernilai RM37,000 kepada Persatuan Muay Thai Sabah sebagai tanda sokongan atas usaha mereka membangunkan atlet muda dalam seni pertahanan diri.

-SF

Tinggalkan komen anda