Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kawalan Perairan:  Bayi Antara 19 PATI Yang Ditahan TLDM

By 10 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan oleh Fauzrina Bulka / Foto: Tentera Laut Diraja Malaysia

SANDAKAN, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Kapal Auksiliari Tun Azizan (KATAZ) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan 18 orang warga Filipina bersama seorang bayi di perairan Sabah Timur kira-kira 8.50 malam kelmarin.

Menurut Pegawai Memerintah KA TAZ, Komander Mohamad Hafiz Faisal pihak kapal telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan menuju ke arah Sandakan dari arah Pulau Taganak, Filipina.

“Bertindak atas maklumat tersebut KA TAZ telah mengarahkan Tim Quick Reaction Force (QRF) Tentera Darat dari 8 RAMD untuk melaksanakan pintasan dan penahanan dengan menggunakan sebuah bot pemintas,”katanya.

Tambahnya, semasa pintasan dilakukan, seorang anggota Tim QRF ternampak salah seorang awak-awak bot tersebut membuang sesuatu ke dalam laut seakan-akan berwarna hitam yang disyaki senjata.

duo

“Bot dan awak-awak dibawa ke KA TAZ untuk siasatan awal dan kesemua mereka berbangsa Sulu dari Kepulauan Jolo, Filipina yang cuba menyeludup masuk ke Sandakan tanpa melalui laluan yang telah diwartakan,”katanya.

Menurutnya juga, kesemua mereka tidak memiliki dokumen dan pengenalan diri yang sah dan mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa ESSCOM untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Tim QRF bersama Pasukan Khas Laut TLDM (PASKAL) yang berpangkalan diPelantar Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok ke perairan Pulau Mantabuan, Semporna.

Kejadian yang berlaku lebih kurang 8.30 malam berjaya menahan dua orang suspek berumur 35 dan 42 tahun kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Panglima Armada Timur iaitu Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahiruddin Putra bin Syed Osman, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan, seperti ESSCOM, Trilateral Maritime Patrol (TMP), penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur dan peningkatan aset di kawasan operasi Sabah Timur demi menjaga keselamatan perairan Sabah Timur.

“Kejayaan kedua KA TAZ dan Tim QRF pada bulan ini pengukur bahawa keselamatan dan kesejahteraan di perairan Sabah Timur sentiasa terpelihara,”ujarnya.

Syed Zahiruddin turut merakamkan penghargaan kepada KA TAZ dan PL TSR atas usaha dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan semasa menjaga keselamatan perairan negara terutama Sabah Timur.

Beliau juga mengingatkan agar semua kapal yang beroperasi agar sentiasa berwaspada dan sentiasa mengekalkan tahap kesiapsagaan yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

KATAZ yang berpangkalan di Sandakan, dipertanggungjawabkan di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur telah melaksanakan operasi bersama, iaitu OP PASIR yang dikoordinasi oleh Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2).

 

-AAS

Tinggalkan komen anda