Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengembaraan Si Cilik Teroka Ilmu Dalam Kereta Api

By 10 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Mohammad Abdul Rahman / Foto: Yusri Younus (Sabah)

KINARUT, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – “Seronok, Qis nak naik lagi!” demikian ungkapan si cilik, Qis atau nama penuhnya Adriana Qistina Yusri, 5, dari Kampung Kawang, selepas turun dari gerabak kereta api Beaufort, di Stesen Kereta Api Kinarut pada Rabu.

Luahan keseronokan pelajar tadika terbabit menyentuh perasaan dan mengingatkan kepada cerita Thomas and Friends yang mengisahkan cerita segerabak kereta api yang menggembirakan semua penumpangnya.

Qistina (tengah depan) encik. Badut (tengah) bersama Halimah (Kanan) dan Mirijah (Kiri) dan rakan-rakan sekelas qistina bergambar kenangan di Stesen Keretapi Beaufort.

Qistina (tengah depan) Badut (tengah belakang),  bersama Halimah (Kanan) dan Mirijiah (Kiri) di Stesen Kereta Api Beaufort.

Qistina yang ditemani ibunya, Halimah Tamin, 43, menyatakan program lawatan ke daerah Beaufort dengan menaiki kereta api ini terlalu menyeronokkan Qistina, bukan kerana hendak ke daerah terbabit yang tidak asing bagi dirinya tetapi kerana perasaan teruja pertama kali menaiki kereta api.

“Ini merupakan pengalaman pertama Qistina menaiki kereta api dan pengalaman ini terlalu menggembirakannya kerana dapat melihat permandangan berlainan dengan laluan jalan yang biasa dilaluinya.

“Ditambah lagi perjalanan ini bersama-sama rakan memberi keriangan berbeza kepada para pelajar Tadika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Laut, Kinarut,” ujar Halimah

Qistina dan ibunya menyertai program bersama 80 peserta kanak-kanak Tadika Kemas Kampung Laut dalam program lawatan sambil belajar ke daerah Beaufort.

“Program ini terlalu seronok selain kali pertama naik kereta api bersama rakan-rakan malah dihiburkan oleh Encik Bandut sepanjang perjalanan semakin menerujakan para pelajar terbabit”, ujarnya.

“Ini perjalanan sulung anak saya dan juga saya, penganjur memberi peluang buat saya serta ibu bapa lain untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta gembira melihat gelagat anak-anak yang teruja, saya berharap program seperti ini diteruskan masa akan datang”, katanya.

Menurut Guru Tadika Kemas Kinarut selaku penganjur, Mirijah Younus, berkata perjalanan pergi balik dari Stesen Kinarut-Beufort mengambil masa  selama dua jam dengan jajaran sejauh 50 kilometer.

“Kanak-kanak tadika yang menyertai program ini adalah daripada kelas A hingga C, Tadika Kampung Laut Kinarut bersama 30 ibu bapa dan 20 guru pengiring.

Jelasnya lagi, lawatan sambil belajar kanak-kanak tabika ini bertujuan menambah ilmu pengetahuan kanak-kanak terbabit tentang alam sekitar dengan melihat sendiri keadaan sekeliling di sepanjang perjalanan menaiki kereta api,di samping mencanai imaginasi melalui aktiviti secara santai bersama ibu bapa.

Kanak-Kanak Tadika Kemas berkumpul di hadapan Stesen Kereta Api Kinarut sebelum bertolak ke Beaufort

Kanak-Kanak Tadika Kemas berkumpul di hadapan Stesen Kereta Api Kinarut sebelum bertolak ke Beaufort

“Pihak tadika amat berterima kasih kepada Jabatan Kereta Api Negeri Sabah atas peluang dan ruang yang diberikan untuk anak-anak ini merasai pengalaman menaiki kereta api.

“Perjalanan antara Kinarut dan Beaufort memang tidak lekang dengan keindahan, pemandangan alam semula jadi serta pembangunan sedang rancak di beberapa kawasan laluan bukan sahaja dikagumi anak-anak malah para ibu bapa turut mengakuinya perjalanan ini terlalu seronok”, ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Ibu Bapa Tadika Kemas Kampung Laut Kinarut, Yusri Younus, 40, dari Kampung Kawang turut menyatakan program ini amat baik dan wajar diteruskan kerana selain pembelajaran dalam kelas, pelajar-pelajar sekali-sekala perlu dibawa melihat dunia luar bagi menambah pengalaman mereka.

“Hiburan Badut sepanjang perjalanan berjaya menceriakan kanak-kanak ini. Idea guru-guru tadika Kemas ini sangat baik dan diharap menjadi wadah untuk mengeratkan lagi hubungan antara guru Kemas dengan ibu bapa,” ujarnya..

Encik Badut atau lebih dikenali sebagai Eddy Wong, berasal dari Putatan  turut merasa kagum dengan daya usaha serta kreativiti guru-guru tadika kemas Kinarut.

“Saya turut merasa seronok dengan perjalanan ini. Lebih 10 tahun saya bergiat dalam persembahan badut, belum pernah saya dilibatkan untuk buat persembahan di dalam gerabak kereta api dan agak mencabar kerana keadaan bergegar dengan bentuk muka buminya berbukit sedikit kita terhuyung-hayang.

“Namun, saya merasa puas hati melihat gelak ketawa kanak-kanak tersebut sepanjang perjalanan, walaupun penat, semuanya hilang melihat gelagat mereka yang terhibur dengan aksi saya,” jelas Eddy yang ditemui selepas acara tersebut.

-SF

 

Tinggalkan komen anda