
Laporan dan foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Seawal 7.00 pagi, pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) dipenuhi dengan rakyat Malaysia berbilang kaum yang membanjiri Dataran Merdeka, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-60 pagi ini.
Menurut Pembantu Operasi Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Zainab Abdullah, 30, sebanyak 50 peratus diskaun diberikan sejak 17 Ogos sehingga 31 Ogos 2017.
“Diskaun ini melibatkan semua pengangkutan awam rapid KL seperti LRT, MRT, bas bersempena Sukan SEA, Hari Kebangsaan dan pembukaan MRT Fasa 2.
“Kaunter dah dibuka sejak 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam dan memang ramai yang memenuhi stesen kami pagi ini,” jelasnya.
Sementara itu, bagi pelajar, Muhd Ali Imran Badrul Sam dan rakannya, Muhd Haziq Zamjihan, 17, dari Bandar Tun Razak berasa cukup teruja kerana ini merupakan kali pertama mereka datang ke Dataran Merdeka.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bertanggungjawab untuk datang ke sini. Selalu tengok televisyen sahaja. Ini baru nak rasa bagaimana keadaan sebenar di Dataran Merdeka ini. Saya paling teruja nak tengok persembahan jet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
Ali turut menjelaskan bahawa kemudahan awam di Malaysia sudah cukup maju dan memudahkan pergerakan.
“Saya lihat Malaysia ini unik, ada banyak kemudahan awam seperti LRT, dan bas rapid KL yang memudahkan pergerakan ke sana sini,” jelasnya yang masih menunggu ketibaan tiga lagi rakannya di stesen LRT Masjid Jamek.
Dalam pada itu, pegawai Petronas, Aimi Kasim, 54 kagum apabila melihat keghairahan rakyat Malaysia yang sanggup ke Dataran sejak pagi.
“Sejak Subuh, ramai yang ghairah menunjukkan kegembiraan nak sambut Hari Kebangsaan yang ke-60 daripada kanak-kanak hinggalah yang dewasa.
“Saya kali kedua ke sini nak saksikan sendiri. Kali pertama pada 1975. Saya datang ke sini untuk melihat kemeriahannya,” jelasnya.
Aimi turut menjelaskan dia memilih LRT bagi memudahkan pergerakannya ke Dataran Merdeka dari Seri Kembangan.
“Ini pilihan terbaik dan memang mudah pergerakan sebab saya letak kereta di Terminal Bandar Tasik Selatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Parameswary Batumalai, 31 yang menaiki LRT dari stesen Cheras memberitahu perkhidmatan itu mudah dan murah.
“Saya nak elak nak naik kereta sebab nak elak susah untuk mencari letak kereta. Dapat diskaun 50%, dapat juga elak bayaran letak kereta.
“Saya datang kali pertama nak tengok persembahan kebudayaan pelbagai kaum. Malaysia unik kerana ada banyak kaum, semua ibarat keluarga,” tambahnya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 ini melibatkan hampir 20,000 peserta pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pasukan Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelajar-pelajar sekolah.