Skip to main content
Berita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Seniman Jalanan Gamatkan Dataran Merdeka

By 31 Ogos 2017September 5th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Β Laporan dan foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka pada hari ini digamatkan dengan kehadiran lima seniman jalanan atau badut yang berpakaian lengkap bertemakan Jalur Gemilang.

Labu menjahit baju dan kasut khas untuk sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini

Labu menjahit baju dan kasut khas untuk sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini

Menurut badut, Muhammad Munawar Mohd Nawi, 54 atau Labu dari Shah Alam, tahun ini mereka merancang untuk meninggalkan kenangan istimewa kepada semua yang hadir di Dataran.

“Kami datang untuk menghiburkan dan mengambil gambar bagi meninggalkan kenangan terindah buat rakyat Malaysia dan pelancong yang gigih datang di Dataran pada hari ini.

“Jadi kepuasan bagi saya dan rakan-rakan untuk berada di sini sejak 6.00 pagi dan kami jangka akan balik pada 12.00 tengah hari.

“Saya memang sepenuh masa buat persembahan badut. Kepuasan pada hari ini apabila kami dapat melayan anak-anak khasnya. Keceriaan mereka kami dapat lihat pada hari ini,” ujarnya yang kagum dengan sambutan meriah yang diberikan oleh masyarakat berbilang bangsa di Dataran pada hari ini.

Labu turut memberitahu dia dan kawan-kawannya menjahit pakaian khas untuk persembahan pada hari ini.

“Pakaian hari ni termasuk kasut, saya reka dan jahit sendiri khas untuk sambutan enam dekad Hari Kebangsaan negara kita.

“Untuk siapkan pakaian ni saya ambil masa dalam dua minggu dengan menggunakan 15 helai bendera Malaysia,” ujarnya yang telah tiga kali memeriahkan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Muhd Nirwan Rosli, memberitahu dia telah berada di Dataran sejak 4.00 pagi tadi.

Muhd Nirwan Rosli, memberitahu dia telah berada di Dataran sejak 4.00 pagi tadi.

Sementara itu, Muhd Nirwan Rosli, 14, dari Kota Damansara yang datang bersama ayahnya berasa seronok kerana turut terlibat dalam program hari ini.

“Saya dan ayah dah sampai pada 4.00 pagi tadi. Kami datang dengan baju Jalur Gemilang untuk bergambar dengan rakyat Malaysia yang datang.

“Saya seronok sebab dapat sambut merdeka dan juga dapat pakai baju merdeka Ayah dah buat baju ni sejak tahun lepas,” katanya yang mula mengikut ayahnya menjadi seniman jalanan sejak darjah satu.

Dalam pada itu, bagi ibu kepada empat orang anak dari Kepong, Noor Hidawati Mohd Juki, 41 dia dan kawan-kawan badutnya merupakan sukarelawan yang mendapat permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membuat penampilan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran pada hari ini.

IMG_8009

Noor Hidawati Mohd Juki bersama pengunjung

“Kami berlima kesemuanya memang sepenuh masa menjadi badut menghiburkan orang dalam apa-apa jua majlis. Sebelum ini, kawan-kawan saya dah mula sejak 2011. Dahulu tak ramai, tahun ni kami memang atur untuk buat persembahan bersama.

Noor Hidawati menambah, kepuasan yang jelas apabila ramai yang datang bergambar dan bertanya berkaitan Jalur Gemilang khasnya.

“Apa yang pasti kami dapat juga menyumbang apabila pelancong yang datang dapat juga meninggalkan kenangan dengan keceriaan warna bendera kita untuk mereka bawa balik, jadi negara kita makin dikenali.

“Ada juga yang datang merupakan atlet sukan SEA yang melabuhkan tirainya semalam,” jelasnya.

Noor Hidawati turut kagum dengan kemajuan yang dicapai Malaysia pada hari ini.

“Apa yang saya lihat semakin lama, Malaysia semakin maju dengan gajet selain pembangunan pengangkutan seperti sistem aliran transit ringan (LRT).

“Kemudian generasi muda kita pun pemikiran mereka semakin matang dan ke hadapan seiring dengan dunia moden pada hari ini. Jadi kami orang lama ni perlu sesuaikan diri dengan setiap kemajuan yang ada,” jelasnya lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 pada tahun ini yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa melibatkan lebih 20,000 peserta yang membuat persembahan.

Tinggalkan komen anda