Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

PPR: Impian 400 Keluarga Bekas Pekerja Ladang Jadi Kenyataan

By 17 Ogos 2017Ogos 18th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Kogilavani Saman & Kamaruzaman Aziz (Sepang)

SEPANG, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Impian 400 keluarga bekas pekerja ladang untuk menduduki rumah teres menjadi kenyataan apabila projek perumahan rakyat (PPR) di Ampar Tenang dijangka siap pada Julai 2019.

Ini sekali gus menamatkan penantian mereka selama lebih 20 tahun untuk mendapat rumah yang dijanjikan sejak tahun 1996 kerana memberi laluan kepada Projek Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan, Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembinaan PPR tersebut membuktikan Kerajaan Persekutuan mengambil maklum mengenai perit jerih perjuangan mereka yang berkorban untuk demi pembangunan negara selain sentiasa prihatin dan menunaikan segala janji demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama penerima rumah PPR Ampar Tenang

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama penerima rumah PPR Ampar Tenang

“Kerajaan persekutuan akan membina 400 unit rumah teres, balai komuniti dan padang permainan yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM60 juta bagi menggantikan rumah bekas pekerja ladang yang sekarang tinggal di Rumah Kos Rendah Taman Permata, Dengkil.

“Rumah yang bakal dibina di atas tanah 30 ekar dengan keluasan setiap unit 1,300 kaki persegi, mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air diharap dapat memberi keselesaan kepada 400 keluarga,” ujarnya semasa berucap di majlis pecah tanah projek PPR Ampar Tenang, Dengkil, petang semalam.

Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohammad Mentek.

Semasa dipindahkan pada tahun 1997, penduduk dijanjikan dengan rumah teres, tetapi mereka ditempatkan di rumah flat yang mempunyai pelbagai masalah seperti retakan di flat, masalah sistem paip, kebocoran paip gas dan banyak lagi.

Kanniamal Suppiah

Kanniamal Suppiah

Penduduk flat Taman Permata adalah bekas pekerja ladang dari empat buah ladang iaitu Ladang Sedgeley, Madingley, Galloway dan Prang Besar (nama lama Putrajaya).

“Tanpa empat ladang tersebut dan pengorbanan oleh 400 keluarga terlibat, tidak akan wujud Putrajaya seperti yang ada hari ini,” kata Najib lagi.

Bagi seorang penduduk yang ditemui, Sitamah Rajugopal, 48, dia mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menolong mereka dengan memberi tempat tinggal yang lebih baik.

Manakala, seorang lagi penduduk, Kanniamal Suppiah, 52, berasa gembira kerana janji kali ini ditepati berikutan mereka sudah menunggu sekian lama untuk mendapatkan rumah yang selesa.

Shanthi Veerasamy

Shanthi Veerasamy

Selain itu, Shanti Veerasamy, 43, tidak sabar untuk menduduki rumah baharu yang pastinya jauh lebih selesa dan sempurna dari rumah yang sedia ada.

Paling menggembirakan mereka, rumah yang bernilai RM150 ribu itu ditawarkan kepada mereka dengan harga RM20 ribu sahaja. Manakala, 216 orang mendapat rumah secara percuma setelah ditolak dari bayaran flat Taman Permata.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda